ADVERTISEMENTspot_img

LAWATAN TAPAK PROJEK PELANCONGAN MADANI PERKUKUH PEMBANGUNAN KOPERASI DI PULAU BUM-BUM, SEMPORNA, SABAH.

SEMPORNA: Usaha memperkasa ekonomi komuniti melalui pelancongan berasaskan koperasi terus diperkukuh menerusi sesi lawatan tapak Projek Pelancongan Madani yang diketuai oleh YBhg. Dato’ Kamaruddin Ismail, Naib Presiden ANGKASA merangkap Pengerusi Kumpulan Pembangunan Koperasi, pada 8 Februari 2026.

Lawatan tersebut melibatkan tiga buah kampung di Pulau Bum-Bum, iaitu Kampung Tabak-Tabak, Kampung Pantau-Pantau dan Kampung Kabimbangan, yang dikenal pasti sebagai lokasi strategik bagi pembangunan projek pelancongan komuniti secara inklusif dan mampan.

Projek ini dilaksanakan oleh Koperasi Permuafakatan Veteran Komando Malaysia Sabah Berhad (KOMAND) dengan kerjasama penduduk setempat, selari dengan aspirasi Pelancongan Madani yang menekankan kesejahteraan rakyat, pemerkasaan komuniti dan kelestarian alam sekitar.

Menurut Dato’ Kamaruddin, pemilihan Pulau Bum-Bum sebagai lokasi projek adalah berdasarkan potensi besar yang dimiliki kawasan tersebut dari segi keindahan semula jadi, keunikan budaya tempatan serta kesediaan komuniti untuk terlibat secara aktif dalam industri pelancongan.

“Pelancongan Madani bukan sekadar menjana pendapatan, tetapi menjadi platform membina jati diri komuniti, memperkukuh koperasi dan memastikan manfaat ekonomi dapat dinikmati secara adil oleh penduduk setempat,” katanya semasa sesi taklimat dan lawatan lapangan.

Sesi lawatan turut merangkumi perbincangan teknikal berkaitan cadangan pembangunan inap desa, pakej pelancongan komuniti, aktiviti kebudayaan serta peluang latihan dan peningkatan kemahiran kepada penduduk kampung, khususnya golongan belia dan veteran ATM.

Pengerusi KOMAND Sabah dalam ucapannya merakamkan penghargaan kepada pihak ANGKASA atas sokongan dan komitmen berterusan dalam membantu koperasi veteran membangunkan projek berimpak tinggi yang mampu meningkatkan taraf sosioekonomi ahli dan masyarakat setempat.

Lawatan ini dilihat sebagai langkah awal yang penting sebelum pelaksanaan fasa seterusnya projek, termasuk penyediaan pelan pembangunan terperinci, penglibatan agensi berkaitan serta penyaluran sokongan kewangan dan teknikal.

Dengan terlaksananya projek ini kelak, Pulau Bum-Bum dijangka muncul sebagai salah satu destinasi pelancongan komuniti unggul di Sabah, sekali gus menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi tempatan dan pembangunan koperasi yang mampan.

Turut hadir bersama Mohd Arbi Sabadari, Ketua Kamung Kabimbangan Merangkap Wakil Komuniti Kampung, En Muhd Ashry Rasgar, Penolong Pegawai Kerja ANGKASA Cawangan Tawau, En Freedly Motimbun, Penyelaras Homestay & Operasi KOMAND dan Amir Hamzah Kanaung, Penyelaras Kewangan Projek KOMAND.

ADVERTISEMENTspot_img
BERITA BERKAITAN