ADVERTISEMENTspot_img

Kerajaan Persekutuan Jelaskan Kutipan Hasil Dari Sabah, Rundingan Perkara 112D Masih Berlangsung

Madius



KUALA LUMPUR: Kerajaan Persekutuan menjelaskan bahawa kutipan hasil cukai langsung dan cukai tidak langsung yang diterima daripada seluruh negara, termasuk Sabah, dilaporkan secara agregat mengikut jenis cukai dan bukannya mengikut negeri.

Penjelasan itu diberikan sebagai menjawab pertanyaan lisan Datuk Seri Panglima Wilfred Madius Tangau (Tuaran) pada Mesyuarat Pertama, Penggal Kelima, Parlimen Kelima Belas hari ini, yang meminta Menteri Kewangan menyatakan jenis-jenis hasil yang dipungut oleh Kerajaan Persekutuan daripada Sabah serta jumlah kutipan bagi setiap jenis hasil bagi tempoh 2020 hingga 2025.


Kementerian Kewangan memaklumkan bahawa hasil cukai langsung dan tidak langsung masing-masing dikutip oleh Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDNM) dan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM).

Cukai langsung merangkumi cukai pendapatan syarikat dan individu, cukai pendapatan petroleum, cukai keuntungan modal, cukai keuntungan harta tanah serta duti setem.

Cukai tidak langsung pula terdiri daripada duti import, duti eksport, duti eksais, cukai jualan, cukai perkhidmatan, cukai pelancongan, duti hiburan, levi keuntungan luar biasa, levi kenderaan barangan dan levi pelepasan.

Selaras dengan Perkara 97 Perlembagaan Persekutuan, hasil kutipan cukai langsung dan tidak langsung dimasukkan ke dalam Kumpulan Wang Disatukan Persekutuan (KWDP), kecuali duti hiburan yang merupakan hasil negeri seperti diperuntukkan di bawah Bahagian III, Jadual Kesepuluh Perlembagaan Persekutuan.

Bagi cukai pelancongan, kementerian menjelaskan bahawa walaupun kutipan dimasukkan ke dalam KWDP, sebanyak 50 peratus daripada hasil kutipan di setiap negeri disalurkan semula kepada kerajaan negeri masing-masing bagi tujuan promosi dan kempen pelancongan serta penambahbaikan infrastruktur serta perkhidmatan berkaitan.

Kementerian turut memaklumkan bahawa secara umumnya, maklumat kutipan hasil cukai Persekutuan boleh dirujuk dalam Penyata Kewangan Kerajaan Persekutuan yang diterbitkan setiap tahun oleh Jabatan Akauntan Negara Malaysia (JANM) mengikut Seksyen 16(1) Akta Tatacara Kewangan 1957.

Bagaimanapun, berhubung perincian jumlah pungutan hasil yang diperoleh dari Sabah seperti diminta Ahli Parlimen Tuaran itu, kementerian menjelaskan bahawa susulan keputusan mahkamah dalam kes Sabah Law Society lwn Kerajaan Persekutuan Malaysia, Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri Sabah telah memulakan rundingan bagi memperhalusi peruntukan berkaitan pemberian khas kepada Sabah di bawah Perkara 112D Perlembagaan Persekutuan.

Sehubungan itu, kementerian tidak dapat mengemukakan maklumat terperinci berkenaan bagi mengelakkan ia mengganggu perkara yang sedang dipertimbangkan dalam rundingan tersebut.


ADVERTISEMENTspot_img
BERITA BERKAITAN