KOTA KINABALU: Pergerakan Pemuda Parti Bersatu Sabah (PBS) menyatakan sokongan penuh terhadap pelaksanaan kenaikan tarif elektrik sebanyak 15 peratus, dengan syarat pihak Sabah Electricity (SE) mengambil langkah lebih proaktif untuk meningkatkan kecekapan perkhidmatan mereka.
Ketua Exco Pemuda PBS, Datuk Christoper Mandut, berkata, kenaikan tarif tersebut wajar dipertimbangkan sekiranya ia disusuli dengan penambahbaikan menyeluruh oleh SE, khususnya dalam aspek pengurusan, keupayaan teknikal dan sumber manusia.
Beliau berkata demikian bagi memetik kenyataan media pada 31 Januari lepas mengenai pelaksanaan tarif elektrik baharu di Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan bermula 1 Febaruari, dengan kadar purata tarif asas diselaraskan kepada 39.70 sen bagi setiap kilowatt jam (kWj) berbanding 34.52 sen/kWj sebelum ini.
Menurut beliau, selaras dengan itu, peningkatan kecekapan operasi amat penting bagi memastikan pengguna menerima perkhidmatan yang lebih baik dan stabil.
“Dengan kenaikan ini, saya mengharapkan pengurusan SE akan menjadi lebih cekap, jumlah tenaga kerja ditambah serta keupayaan teknikal dipertingkatkan bagi membantu mengurangkan gangguan elektrik yang sering berlaku,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau menegaskan bahawa sebarang kenaikan tarif perlu memberi manfaat langsung kepada rakyat, terutama dari segi kebolehpercayaan bekalan elektrik dan kecekapan penyelenggaraan infrastruktur.
Tambahnya lagi, Pemuda PBS berharap SE dapat mengambil pendekatan lebih prihatin terhadap keperluan pengguna, selaras dengan aspirasi pembangunan negeri dan kesejahteraan rakyat Sabah.



