RASMI………Upacara Perasmian premis R Shoe Laundry disempurnakan Datuk Rusdin Riman disaksikan Ruppay (kiri) bersama yang lain.
OLEH SALWAH ARAMAT
RANAU: Pembukaan premis perkhidmatan cucian kasut, R Shoe Laundry, di Bangunan Koisaan Point di sini menandakan satu lagi inisiatif keusahawanan tempatan yang berpotensi merancakkan aktiviti ekonomi di daerah Ranau.
Majlis perasmian premis berkenaan disempurnakan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) N.38 Paginatan, Datuk Rusdin Riman, sekali gus mencerminkan sokongan berterusan kepimpinan negeri terhadap perkembangan usahawan kecil dan sederhana, khususnya di kawasan luar bandar.
Turut hadir memeriahkan majlis ialah Ahli Parlimen Ranau, Datuk Jonathan Yasin, selaku jemputan khas yang meluangkan masa beramah mesra bersama pengusaha serta masyarakat setempat yang hadir.
Pemilik R Shoe Laundry, Ruppay Jurimin, berkata penubuhan premis itu menempuh pelbagai cabaran pada peringkat awal, termasuk persepsi segelintir masyarakat yang meragui kewujudan perkhidmatan dobi kasut di daerah berkenaan.
“Walaupun berdepan keraguan, saya yakin rezeki tidak pernah salah alamat. Dengan usaha gigih dan semangat keusahawanan, akhirnya perkhidmatan dobi kasut kini menjadi realiti di Ranau,” katanya, sambil menyatakan komitmen menyediakan perkhidmatan mencuci dan penjagaan kasut secara profesional kepada penduduk setempat.
Beliau memaklumkan operasi premis itu dikendalikan oleh tiga orang kakitangan tempatan, sekali gus membuka peluang pekerjaan kepada belia di sekitar Ranau dan menyumbang kepada pembangunan ekonomi komuniti.
Menurutnya, kadar perkhidmatan yang ditawarkan adalah berpatutan iaitu RM15 bagi sepasang kasut dewasa, manakala pelajar sekolah rendah dan menengah dikenakan caj RM10 bagi setiap pasang kasut.
Dalam ucapannya, Datuk Rusdin menyifatkan pembukaan R Shoe Laundry sebagai satu langkah positif selari dengan aspirasi kerajaan untuk memperkasakan ekonomi rakyat melalui sokongan terhadap perusahaan mikro dan kecil.
Beliau berharap kejayaan premis itu dapat menjadi pemangkin kepada pertumbuhan lebih banyak perniagaan tempatan di daerah Ranau, sekali gus memperkukuh ekosistem keusahawanan dan meningkatkan kesejahteraan ekonomi masyarakat setempat.



