Tertuduh ketika di bawa ke Mahkamah Majistret Wilayah Persekutuan Labuan, pagi ini.
LABUAN: Seorang Pengurus Syarikat bersama dua penjawat awam ditahan reman lima hari selepas disyaki bersubahat mengemukakan tuntutan palsu bagi membekal makanan tahanan di salah sebuah jabatan penguatkuasaan di sini.
Ketiga tiga yang disyaki ditahan reman lima hari bermula hari ini (7 Januari) hingga 11 Januari 2026 oleh Hakim Majistret Dr. Melissa Chia selepas permohonan reman dibuat oleh Pegawai Pendakwa SPRM Wilayah Persekutuan Labuan Pps, Joe Randy Juster di Mahkamah Majistret Wilayah Persekutuan Labuan pagi ini.
SPRM Labuan dalam satu kenyataan berkata, ketiga-tiga Orang Yang Disyaki (OYDS) iaitu seorang lelaki merupakan pengurus syarikat dan dua wanita merupakan penjawat awam berumur lingkungan 31 hingga 43 tahun telah ditahan petang kelmarin (6 Januari 2026).
Menurut kenyataan itu lagi, pengurus syarikat berkenaan warga tempatan ditahan kerana membuat tuntutan palsu antara April hingga Julai 2025 dengan jumlah keseluruhan lebih kurang RM40,000.
Manakala, dua penjawat awam yang berkhidmat di bahagian kewangan jabatan itu turut ditahan kerana disyaki bersubahat dalam proses memperakukan tuntutan palsu tersebut dengan mendapat habuan berupa wang tunai daripada pengurus syarikat.
Terdahulu sebelum itu, Pengarah SPRM Wilayah Persekutuan Labuan, Muhammat Azis Malmod, mengesahkan tangkapan tersebut.
Kes disiasat di bawah Seksyen 18 Akta SPRM 2009.



