Oleh: Salwah Aramat
SUASANA dingin di kampung asalnya di Kundasang yang terletak di kaki Gunung Kinabalu, mencetus idea kepada seorang suri rumah mengusahakan tanaman pokok bunga di tanah tinggi.
Bemula sebagai hobi dan minat mengisi masa lapang, usaha Siti Asnidah Binti Kaimin, 44, tidak sia-sia apabila mampu membina sebuah rumah mahligai impian dengan kos mencecah RM500,000.

Lebih membanggakan, kediaman di tapak rumah lamanya di Kg. Muhibbah, Kundasang itu dibina hasil jualan pokok hidup dan bunga-bungaan segar tanah tinggi sejak beberapa tahun lalu tanpa memohon pembiayaan atau pinjaman daripada mana-mana institusi kewangan.
Siti Asnidah berkata, beliau beruntung kerana sentiasa mendapat dorongan, sokongan dan motivasi daripada suaminya, Majiris Kawasa, 44, untuk mengusahakan tanaman pelbagai jenis pokok bunga untuk dijual kepada orang ramai.

Antara jenis pokok bunga yang ditanam dan dijualnya termasuk bunga balsam, kekwa, torenia, tulip, bunga raya, ros, petunia, orkid, kaktus, pine, bunga kertas dan banyak lagi dengan harga yang berpatutan.
Semua pokok bunga dijual bermula dari RM15 sepokok bergantung kepada saiz, usia bunga-bungaan tersebut serta jenisnya, selain sama ada dijual dalam pasu atau beg plastik.

Selain itu, kata ibu kepada tiga orang cahaya mata, beliau juga mengusahakan kebun sayur Brokoli dan Califlower sebagai produk tambahan untuk dipasarkan sekitar pekan Kundasang, dan dijual ke beberapa daerah berhampiran.

“Dengan menjual beraneka jenis pokok bunga hidup ini, membolehkan kami sekeluarga mengumpul dana membina rumah tanpa meminjam daripada institusi kewangan atau bank.
“Bagi saya, setiap usaha jika dilakukan dengan bersungguh-sungguh, Insya-allah pasti akan memperoleh hasil lumayan”, katanya. –TAMAT–



