KOTA KINABALU: Mahkamah Tinggi di sini hari ini mengarahkan Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri Sabah untuk memulakan semakan baharu di bawah Perkara 112D Perlembagaan Persekutuan bagi pelaksanaan pemberian khas 40 peratus hasil kepada Sabah seperti yang dijamin dalam Perkara 112C.
Perintah itu dikeluarkan oleh Hakim Datuk Celestina Stuel Galid, yang menetapkan tempoh 90 hari untuk kedua-dua pihak memulakan rundingan semakan, manakala persetujuan pelaksanaan bayaran khas tersebut perlu dimuktamadkan dalam tempoh 180 hari.
Dalam penghakimannya, Hakim Celestina menegur Kerajaan Persekutuan kerana tidak menjalankan sebarang semakan sejak 1974, sekali gus dianggap melanggar obligasi perlembagaan di bawah Perkara 112D. Beliau turut menyatakan bahawa kegagalan tersebut bertentangan dengan semangat Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dan Laporan Jawatankuasa Antara Kerajaan (IGC) yang menjamin hak kewangan Sabah.
Mahkamah juga menolak hujah Kerajaan Persekutuan bahawa semakan telah dilakukan secara berterusan, dengan alasan tiada bukti kukuh dikemukakan untuk menyokong dakwaan itu. Tempoh selama hampir lima dekad tanpa semakan disifatkan sebagai “tidak munasabah dan amat membimbangkan.”
Tindakan undang-undang berkenaan difailkan oleh Sabah Law Society (SLS) pada Jun 2022 bagi mencabar kegagalan Kerajaan Persekutuan menunaikan tanggungjawabnya terhadap hak kewangan Sabah di bawah peruntukan Perlembagaan.



