Para penerima geran bersama Arthur Kurup dan yang lain
KUNDASANG,: Empat usahawan tani bawang merah di Sabah menerima Geran Usahawan Perintis berjumlah RM215,000 daripada Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) bagi memperkukuh pengeluaran benih bawang merah tempatan.
Geran tersebut disampaikan oleh Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Arthur Joseph Kurup, semasa lawatan rasmi ke Plot Pengeluaran Benih Bawang Merah Usahawan Tani bimbingan MARDI di Kampung Tanah Merah, Mesilou.
Penerima geran masing-masing ialah Shahrizal Denci dari Kundasang (RM180,000), Hezzro Abie dari Tambunan (RM25,000), Mohd Roslie Ahmaddani dari Kota Marudu (RM5,000), dan Justin Sansalu dari Paitan, Sandakan (RM5,000).
Arthur berkata, penyampaian geran itu selari dengan aspirasi kerajaan MADANI untuk memperkukuh jaringan usahawan bawang merah tempatan serta meningkatkan kapasiti pengeluaran benih di Sabah.
“Kementerian melalui MARDI turut menyediakan sokongan teknikal merangkumi agronomi, kawalan penyakit, pengurusan ladang dan penggunaan benih berkualiti bagi memastikan projek ini berdaya maju.
“Lawatan ini mencerminkan komitmen kerajaan memperkukuh ekosistem bawang merah tempatan dan menjadikan Kundasang hab pengeluaran utama negara menjelang 2030,” katanya.
Turut hadir Ketua Pengarah MARDI, Dato’ Dr Mohamad Zabawi Abdul Ghani.
Arthur berkata faktor agroiklim tanah tinggi di Kundasang, Tambunan, Ranau dan beberapa kawasan lain yang bersuhu sederhana dan mempunyai tanah subur menjadikan Sabah negeri berpotensi tinggi untuk tanaman bawang merah.
Menurutnya, ketika ini sebahagian besar keperluan bawang merah negara masih diimport, namun usaha sedang dipergiat bagi meningkatkan pengeluaran tempatan.
“Sehingga 2025, keluasan penanaman bawang merah di Sabah dianggarkan sekitar tujuh ekar melibatkan lebih 15 usahawan tani, termasuk projek rintis MARDI.
“Dengan sokongan kerajaan, keluasan ini dijangka berkembang melebihi 100 hektar menjelang 2030 sekali gus mampu mengurangkan import sehingga 30 peratus,” ujarnya.
Sementara itu, usahawan penerima geran terbesar, Shahrizal Denci, 43, berkata beliau merancang memperluaskan kawasan penanaman kepada 40 ekar bermula Oktober ini dengan sasaran pengeluaran sehingga 200 metrik tan.
“Setakat ini, saya mengusahakan lima ekar dengan hasil 20 metrik tan untuk dua musim. Penyelidikan varieti bawang oleh MARDI membuktikan bawang merah tempatan mampu mencapai hasil antara empat hingga enam metrik tan sehektar bergantung kepada amalan agronomi serta pengurusan ladang yang baik.
“Saya yakin Sabah berpotensi menjadi peneraju pengeluaran bawang merah negara,” katanya.



