ADVERTISEMENTspot_img

Murid SK Gadong meriahkan Sambutan Bulan Malaysia Sihat Sejahtera

Roslan bersama warga SK. Gadong bergambar kenangan.

BEAUFORT: Sekolah Kebangsaan Gadong (SKG), Beaufort dengan kerjasama Pejabat Kesihatan Daerah Beaufort menganjurkan Sambutan Bulan Malaysia Sihat Sejahtera di perkarangan sekolah itu , baru-baru ini.

Majlis perasmian sambutan telah disempurnakan oleh Ahli Parlimen Sipitang, Datuk Matbali Musah.

Matbali ketika berucap ada majlis itu berkata program berkenaan menjadi wadah penting dalam menyemarakkan budaya hidup sihat selain memperkukuh ukhwah masyarakat setempat.

Jelasnya, usaha bersama pelbagai pihak termasuk Kawasan Rukun Tetangga (KRT) kampung berhampiran memperlihatkan semangat gotong-royong dan kerjasama erat dalam menjayakan agenda kesihatan masyarakat.

Manakala Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lumadan, Datuk Roslan Muharam menyempurnakan perasmian pada hari kedua program tersebut.

Roslan dalam ucapanya, menjelaskan beliau sentiasa tetus memberikan sokongan terhadap usaha sekolah serta agensi-agensi yang menjayakan program itu.

“Saya berharap program seperti ini akan diteruskan kerana ia banyak memberi manfaat kepada warga sekolah dan komuniti.

“Saya sentiasa menyokong usaha murni pihak sekolah dan agensi kerajaan”, katanya.

Guru Besar SK Gadong, Marif Yusuf pula berkata, penganjuran program ini membuktikan bahawa sekolah bukan hanya berperanan sebagai pusat pendidikan, malah turut berfungsi sebagai pusat komuniti yang menghubungkan murid, ibu bapa dan masyarakat.

Pihak sekolah amat berbesar hati dengan sokongan daripada Pejabat Kesihatan Daerah, Bomba Beaufort, KRT dan ibu bapa.

Melalui program ini, murid-murid mendapat ilmu berguna mengenai gaya hidup sihat, manakala masyarakat pula dapat menikmati pelbagai aktiviti yang menyatukan kita semua.

Pada ketika ini, SK Gadong mempunyai 258 murid dan 31 guru.

Sepanjang program, pengunjung berpeluang mengikuti pelbagai aktiviti menarik termasuk pameran kesihatan dan pembukaan gerai jualan.

Turut diadakan Jualan Madani, sukan rakyat, persembahan murid, cabutan tiket bertuah serta demonstrasi pemadaman api yang dikendalikan oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat Daerah Beaufort.

Objektif utama program adalah menyebarkan kesedaran penjagaan kesihatan, memberi akses ilmu berguna kepada masyarakat, mengeratkan perpaduan, serta menyumbang kepada peningkatan sosioekonomi komuniti setempat.

Majlis penutupan berlangsung dengan penuh meriah dengan kehadiran guru, murid, ibu bapa, wakil agensi kerajaan, pihak bomba, KRT serta pimpinan masyarakat yang bersama-sama menjayakan program itu.

ADVERTISEMENTspot_img
BERITA BERKAITAN