UNTUK INGATAN… Khairul (dua dari kiri) menyampaikan cendera kenangan berupa bentuk bagang kepada Harun sambil disaksikan oleh Ariffin (kiri) dan yang lain.
OLEH: HJ MOHD AMIN HJ MUIN
DAN A.JALIL MADARIN
PITAS : Pemilik lesen menangkap ikan jenis bagang untuk menangkap ikan, sotong dan sebagainya diingatkan tidak sesekali mengalibabakan lesen mereka.
Mereka yang berbuat demikian boleh ditarik balik lesen mereka yang dikeluarkan oleh Jabatan Perikanan kerana melanggar syarat pemberian lesen.
Timbalan Ketua Bahagian Parti Gagasan Rakyat Sabah (PGRS) Datuk Harun Ismail berkata, beliau dan yang lain mendengar keluhan warga tempatan bahawa mereka kesal kerana ada segelintir pemilik bagang yang berlesen tetapi mereka mengalibabakan malah ada yang menjualnya kepada orang asing.
Selain itu katanya, ada juga aduan yang menyatakan dalam mengusahakan hasil laut ini ada yang menjadi orang tengah yang mengambil kesempatan dengan mengaut keuntungan dengan meminta setiap satu bagang hingga mencapai RM3,000.
” Saya ingin menegaskan sekiranya saya diberi peluang menjadi pemimpin di daerah ini kita akan ubah sistem ini sehingga ianya benar-benar tidak berlaku pengkhianatan” tegasnya.

JANGAN SEWAKAN LESEN… Harun, jangan jual dan alibabakan lesen bagang kepada orang asing
Harun menambah, pemilik bagang berlesen seharusnya bersyukur kerana telah diberi peluang oleh kerajaan untuk membangunkan bagang yang diinginkan sebagai punca sumber rezeki harian mereka sedangkan masih ramai lagi warga tempatan yang menginginkannya tetapi mereka kurang kemampuan untuk mendapatkannya.
“Hasil tangkapan laut ini juga sebagai penyumbang kepada pembangunan ekonomi negeri ini melalui Jabatan Perikanan dan agensi yang berkaitan maka secara tidak langsung amat besar sumbangan para nelayan kepada negeri dan negara kita,”tambahnya.
Dalam hubungan ini beliau menyarankan kepada jabatan yang berkenaan di daerah Pitas agar memastikan pemilik bagang yang berlesen ini terdiri dari kalangan warga tempatan yang mencukupi pelbagai syarat dan tidak menjualkan atau mengalibabakannya kepada orang asing.
Harun yang juga Presiden Pertubuhan Dusun Islam Sabah (PDIS) antara lain berkata demikian dalam Pertandingan Sukan Laut, Lumba Perahu Bagang Tajaan Datuk Harun Ismail (DHI) anjuran Belia Kampung Tanjung Sumimpul Pitas dekat sini baru-baru ini.
Kesemua pemenang masing-masing membawa balik hadiah berupa wang tunai dan hamper sumbangan Datuk Harun Ismail.
Hadir sama di majlis itu, Pengerusi Penganjur Khairul Nizam, Pegawai Khas kepada Datuk Harun, Abdul Majit Tarip@ Man, Pegawai Kemajuan Masyarakat yang juga ahli jawatankuasa PGRS Pitas Ariffin Matasin, Ahli Jawatankuasa PGRS Bahagian Pitas yang lain, Stanly Lumbihan, Nordin Lumimbu, serta warga kerja Datuk Harun dan warga kerja penganjur program.



