ADVERTISEMENTspot_img

KUSKOP Rekod Pencapaian Cemerlang, Sasar Perkukuh Ekosistem Keusahawanan Negara: Ewon

GAMBAR KENANGAN….Ewon (duduk tengah) bergambar bersama Warga KUSKOP dan Agensi 2025 di Menara Kembar Bank Rakyat, di sini hari ini.



KUALA LUMPUR, Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) berjaya mencatatkan pelbagai pencapaian signifikan bagi separuh pertama tahun 2025, termasuk membantu lebih 204,000 usahawan dan koperasi memperoleh pembiayaan berjumlah RM3.59 bilion, kata Menterinya Datuk Ewon Benedick.

Beliau berkata, kementerian turut melahirkan 28,687 usahawan dan koperasi baharu selain membimbing 540 Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) menembusi pasaran global menerusi pelaksanaan Perancangan Strategik KUSKOP 2025.

“Pencapaian ini hasil komitmen padu warga kementerian dan agensi yang memastikan setiap inisiatif dilaksanakan berkesan, meskipun berdepan cabaran ketidaktentuan global dan kekangan sumber,” katanya ketika berucap pada Majlis Perhimpunan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Bersama Warga KUSKOP dan Agensi 2025 di Menara Kembar Bank Rakyat, di sini hari ini.

Ewon berkata, prestasi Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) pada 2024 membuktikan daya tahan sektor itu apabila merekodkan pertumbuhan 5.8 peratus atau RM652.4 bilion kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK), dengan sumbangan eksport meningkat 31.3 peratus serta penggajian seramai 8.1 juta pekerja.

Selain itu, beliau turut menekankan kejayaan penganjuran pelbagai program berskala besar seperti Program Madani Rakyat (PMR) di Tawau, ASEAN Coordinating Committee for Micro, Small and Medium Enterprises (ACCMSME) Ke-19 di Langkawi, serta PERNAS International Franchise Festival (PIFF) 2025, yang menurutnya memperkukuh jaringan kerjasama domestik dan serantau.

“KUSKOP juga meneruskan inisiatif khas untuk usahawan masyarakat India melalui skim seperti SPUMI Goes Big, PENN, BRIEF-i serta Vanigham Financing for Indian Entrepreneurs, yang menyediakan akses pembiayaan bersasar,” katanya.

Mengulas hala tuju seterusnya, Ewon berkata kementerian akan memberi tumpuan kepada pelaksanaan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) selaras aspirasi Ekonomi MADANI, dengan memfokuskan penskalaan PMKS, pemerkasaan sektor ketiga termasuk perusahaan sosial, perniagaan inklusif dan koperasi sebagai pemacu ekonomi sosial.

Beliau menyeru semua warga KUSKOP dan agensi untuk terus mempermudah urusan pelanggan tanpa mengabaikan tadbir urus yang baik.

“Kita perlu menjadi fasilitator, bukan penghalang. Komitmen tinggi amat diperlukan bagi memastikan inisiatif memberi kesan limpahan kepada rakyat,” katanya.

Ewon yang menerajui KUSKOP sejak 3 Disember 2022 yakin baki tahun 2025 akan membawa kejayaan lebih besar jika semua pihak mengekalkan semangat kerjasama, integriti dan fokus terhadap amanah yang dipikul.



ADVERTISEMENTspot_img
BERITA BERKAITAN