Eyo(dua dari kiri) ketika menjawab soalan yang diajukan Penyampai Radio Azian (kanan) dan Kak Lang (dua dari kanan) semasa siaran langsung bermula
KOTA KINABALU: Jabatan Warisan Negara (JWN) menyasarkan kehadiran lebih 50 000 pengunjung pada Festival Citarasa Warisan @ Sabah 2025 sempena empat hari bermula 7 hingga 10 Ogos.
Pengarah Bahagian Warisan Tidak Ketara, Jabatan Warisan Negara, Dr. Eyo Yeng Lan berkata, festival
tersebut terbuka kepada seluruh masyarakat Malaysia, khususnya rakyat Sabah.
“Kita mengharapkan objektif kita tercapailah di mana kita nak memperkenalkan, mempromosi dan melestarikan makanan warisan kita dan kita mengharapkan penyertaan daripada orang-orang Sabah terutamanya semua datang beramai-ramai ke tapak festival kita kerana kita merasakan 50,000 pengunjung yang akan hadir sepanjang tempoh empat hari bermula semalam, 7 hingga 10 Ogos.
“Kita mengalu-alukan kehadiran semua memandangkan semua pengisian amat menarik,” katanya ketika ditemui media selepas program siaran langsung dalam segmen Suara 34 Puncak Prestasi di konti Sabahfm, di sini pada Jumaat.
Menurut Eyo, objektif utama penganjuran festival tersebut adalah untuk memperkenalkan, mempromosi, memartabat dan melestarikan makanan warisan terutamanya makanan warisan yang telah mendapat pengiktirafan sebagai warisan kebangsaan di bawah Akta Warisan Kebangsaan 2005, (Akta 645) khususnya di Sabah.
“Kita ada bawa jualan dan juga demonstrasi makanan warisan terutamanya makanan warisan di Sabah lah dan kita bawa juga makanan-makanan daripada semenanjung kita bawa juga yang menariknya adalah kita bawa sembilan jenis sambal yang telah mendapat pengiktirafan sebagai Warisan Kebangsaan.
“Selain itu, kita bawa juga makanan-makanan yang hampir pupus itu adalah objektif utama selain kita nak menghimpunkan semua komuniti-komuniti yang ada kaitan dengan makanan termasuklah chef, penggiat-penggiat perusahaan-perusahaan makanan untuk festival kali ini,” jelas beliau.
Tambah Eyo, Festival tersebut turut menampilkan pelbagai acara menarik seperti demonstrasi masakan, pertandingan kulinari, bengkel perkongsian ilmu oleh pakar Universiti serta persembahan kebudayaan yang menampilkan keunikan adat dan tradisi masyarakat tempatan.
“Kita juga ada aktiviti-aktiviti macam pertandingan Aktiviti masak bersama selebriti, kita bawa Chef Fikree, Chef Johan Sinam untuk sama-sama memasak dengan kita dan kita juga ada pertandingan Ratu Serimpak di mana ratu-ratu kita akan berpakaian busana lengkap akan masuk bertanding masak ikan ampap itu adalah makanan warisan di Sabah.
“Kita juga ada sesi perkongsian ilmu bersama panel-panel jemputan yang kita jemput dari universiti, dan juga persembahan kebudayaan dan juga artis-artis jemputan, itu adalah antara daya penarik untuk Festival Citarasa Warisan di Sabah,” ujarnya.
Selain itu, beliau turut memaklumkan seramai 25 peniaga tempatan atau pendemo makanan warisan  yang  akan terlibat menjual makanan warisan sepanjang berlangsung festival tersebut.
“Setakat ini, kita ada 25 peniaga yang kita bawakan khas daripada pelbagai daerah di Sabah lah Bukan setakat di tuaran tapi kita ada juga dari Kota Belud, Keningau, Putatan dan banyak lagi lah berbagai-bagai daerah dan juga pelbagai etnik seperti Murut, Kedayan semua kita bawa dan etnik yang selaku penjual ini akan menjual lah makanan-makanan warisan etnik masing-masing.
“Sebenarnya, kita memberi peluang kepada mereka untuk bukan setakat berjual, tetapi juga dapat memberi ilmu dan juga memberi pendedahan kepada pengunjung-pengunjung di luar sana untuk mereka memperkenalkan makanan warisan masing-masing.
“Jadi, saya rasa ini adalah peluang yang baik juga lah kepada penjual-penjual kita yang berada di pelbagai daerah untuk kita kumpulkan dalam satu tempat untuk sama-sama menunjukkan makanan warisan etnik masing- masing,” kata beliau.
Untuk rekod, program FCRW@S merupakan anjuran Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia melalui Jabatan Warisan Negara dengan kerjasama Persatuan Suara Buluh Perindu Sabah, buat pertama kali diadakan pada tahun ini bagi memperkenalkan dimensi baru kepada penganjuran festival./PENERANGAN



