Datuk Japiril
RANAU: Kes kematian tragis pelajar tingkatan satu, Allahyarhamah Zara Qairina Mahathir, disifatkan sebagai titik tolak yang membuka penutup kekecewaan dan kemarahan yang telah lama terpendam dalam kalangan ibu bapa, keluarga serta pelajar di seluruh negara.
Aktivis sosial merangkap penyelaras himpunan #JusticeForZara bagi daerah Ranau, Datuk Japiril Suhaimin, berkata insiden itu bukan sekadar kes terpencil, sebaliknya mencerminkan realiti lebih besar bahawa ramai pelajar menderita dalam diam tanpa suara dan pembelaan.
“Ramai ibu bapa telah menyuarakan kebimbangan mereka, namun sering kali tidak diendahkan. Pelajar pula, kerana rasa takut dan tekanan sosial, memilih untuk berdiam diri,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurut beliau, kes Zara menjadi pencetus kepada gelombang kesedaran bahawa sistem pendidikan perlu diteliti semula, bukan hanya dari segi dasar, malah pelaksanaan dan kepekaan terhadap kesejahteraan pelajar.
“Kemarahan yang timbul bukan semata-mata kerana satu kejadian, tetapi kerana ia mewakili rantaian pengalaman yang tidak didengari dan tidak ditangani. Ia adalah luahan kolektif daripada mereka yang selama ini merasa terpinggir,” katanya.
Japiril menegaskan, kes itu telah membuka ruang untuk dialog lebih jujur dan tindakan lebih berani daripada pihak pentadbir, pendidik dan masyarakat, bagi memastikan tiada lagi pelajar yang menderita dalam senyap.
“Jangan sampai perkara ini menimpa anak kita, cucu kita, anak buah, anak saudara atau cicit kita. Kita mesti bangkit bersama hapuskan kes buli,” tegasnya.
Sehubungan itu, beliau menyeru orang ramai untuk menghadiri himpunan solidariti #JusticeForZara pada 10 Ogos ini, masing-masing di Pentas Budaya Ranau pada 10 pagi dan Pentas Budaya Kundasang pada 1 tengah hari, dengan berpakaian serba hitam sebagai tanda sokongan.



