ADVERTISEMENTspot_img

AHLI PARLIMEN TUARAN DESAK PENILAIAN MENYELURUH TERHADAP DASAR 60% PELAJAR STEM

Madius

KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Tuaran, Datuk Seri Panglima Wilfred Madius Tangau telah mengemukakan pertanyaan lisan di Dewan Rakyat pada Rabu berhubung pencapaian Dasar 60:40 yang menyasarkan 60% pelajar negara mengikuti aliran Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) dalam sistem pendidikan Malaysia.

Dalam pertanyaan tersebut, beliau meminta penjelasan daripada Menteri Pendidikan mengenai pemantauan dan penilaian tahunan yang dilakukan oleh kementerian serta perincian pencapaian setiap negeri sepanjang tempoh Rancangan Malaysia Ke-12 (RMKe-12).

Menjawab persoalan itu dalam satu jawapan bertulis, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) memaklumkan bahawa pelbagai inisiatif telah dilaksanakan melalui penubuhan Task Force Pendidikan STEM bagi memperkukuh pelaksanaan dasar tersebut.

“Sehingga Oktober 2024, peratusan enrolmen pelajar dalam aliran STEM meningkat daripada 40.95% (2021) kepada 50.83% (2024), menunjukkan peningkatan positif di semua negeri.

“Antara langkah utama yang diambil termasuklah peluasan program latihan guru dalam Inquiry-Based Science Education dan Inquiry-Based Mathematics Education, pelaksanaan program STEM for All bagi mengukuhkan kerjasama sekolah dan industri, serta penambahbaikan infrastruktur makmal sains bagi memastikan pembelajaran amali dapat dijalankan secara efektif,” ujar kementerian itu lagi.

KPM turut memaklumkan bahawa 98.86% daripada 18,113 pelajar di Sekolah Berasrama Penuh (SBP) kini mengambil pakej STEM, manakala hanya 1.14% memilih aliran Sains Sosial, seperti yang dilaporkan dalam kenyataan media pada 13 Mac 2025.

“Mengambil maklum cabaran pelaksanaan pendidikan STEM, KPM telah mengeluarkan arahan kepada semua Pengarah Pendidikan Negeri pada 25 April 2025 agar memastikan setiap sekolah menawarkan sekurang-kurangnya satu kelas pakej STEM A mulai tahun ini.

“Pengetua, guru bimbingan dan kaunseling turut digesa memainkan peranan aktif dalam membimbing pelajar Tingkatan 4 memilih aliran yang sesuai dengan minat dan kebolehan mereka.

“Sebagai tambahan, Task Force Pendidikan STEM kini diperluaskan ke peringkat Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) dan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) untuk memantau pelaksanaan dasar ini secara lebih dekat dan menyeluruh,” jelas kementerian itu lagi.

Dalam satu kenyataan hari ini, Madius menekankan bahawa usaha meningkatkan penglibatan pelajar dalam bidang STEM adalah penting untuk menjamin masa depan Malaysia sebagai negara yang berdaya saing dan mempunyai tenaga kerja berkemahiran tinggi.

Beliau berharap pemantauan berkala dan strategi intervensi akan terus diperkukuhkan demi memastikan sasaran 60% pelajar dalam aliran STEM dapat dicapai menjelang akhir RMKe-12.

ADVERTISEMENTspot_img
BERITA BERKAITAN