Mohd Sukuran (kiri sekali) bersama Hasan( tiga dari kanan) mengiring ahli panel hakim ADM masuk ke kawasan balai raya Kampung Kilan
LABUAN: Kampung Kilan yang mewakili Wilayah Persekutuan Ke Pertandingan Anugerah Aspirasi Desa MADANI (ADM) 2025 berpotensi dalam pelbagai aspek khususnya dalam pengurusan komuniti, ekonomi dan alam sekitar.
Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Labuan, Mohd Sukuran Taib berkata, selain itu Kampung Kilan juga memperlihatkan keupayaan dalam memperkasakan penglibatan belia, wanita dan penerapan teknologi dalam tadbir urus kampung.
“Inilah nilai nilai kemajuan yang kita harapkan agar terus berkembang.
” Perbadanan Labuan akan terus menjadi rakan strategik dalam membimbing, memudah cara dan menyokong segala inisiatif yang dirancang demi kemajuan komuniti kampung, bukan sahaja Kampung Kilan tetapi 27 kampung yang lain di Labuan ” katanya ketika berucap pada Majlis Penilaian Anugerah Aspirasi Desa MADANI (ADM) Kebangsaan, Kampung Kilan disini, kelmarin.
Kampung Kilan akan mewakili Wilayah Persekutuan ke pertandingan Anugerah Aspirasi Desa MADANI peringkat Kebangsaan 2025 bagi kategori Kampung Tradisional.
Pada tahun lalu, Kampung Kilan muncul juara ADM kategori Kampung Tradisional peringkat Wilayah Persekutuan dan kejayaan itu membolehkan Kampung Kilan mewakili Wilayah Persekutuan ke peringkat Kebangsaan.
Anugerah Aspirasi Desa MADNI anjuran Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) bertujuan untuk memberikan pengiktirafan kepada kampung yang menunjukkan prestasi cemerlang dalam pembangunan desa daripada pelbagai aspek disamping memperkenalkan konsep Desa MADANI kepada masyarakat Desa serta menggalakkan nilai nilai murni dalam kehidupan seharian.
Hadir sama, Ketua Panel Hakim, Anugerah Aspirasi Desa MADANI Bigar Layoh, Ketua Urusetia ADM Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW), Azman Maarof, Pegawai KEMAS, Wilayah Persekutuan Labuan, Gilbert Julian dan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Kemajuan dan Keselamatan (JPKK) Kampung Kilan, Haji Hassan Haji Kapal.



