RASMI … YB Datuk Jonathan Yassin merasmikan sambutan ulang tahun 40 SEMETRA.
RANAU – Sekolah Menengah Kebangsaan Timbua (SEMETRA), Ranau terus melakar sejarah apabila menyambut ulang tahun ke-40 penubuhannya dengan penuh meriah dan bermakna melalui sambutan Jubli Ruby yang mengangkat tema “SEMETRA Glory 40 Tahun Menjulang Harapan: Sekolah Pedalaman, Legasi dan Aspirasi” baru-baru ini.
Sambutan yang menggabungkan lima program utama, berkonsepkan sebuah naratif perjalanan SEMETRA dalam “Menelusuri Jejak, Menjulang Kejayaan, dan Melakar Masa Depan”, bukan sahaja mengimbau perjalanan panjang sekolah sejak 1985, malah meraikan kejayaan semasa dan bertekad mencorak masa depan yang lebih gemilang sekali gus, menjadi simbol kesatuan seluruh ekosistem pendidikan khususnya guru, murid, ibu bapa, komuniti dan alumni dalam menjulang kecemerlangan pendidikan luar bandar.
Dianjurkan secara kolaboratif oleh Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG), pihak sekolah serta alumni, sambutan empat hari ini dipenuhi dengan pelbagai program yang menyentuh nilai kerohanian, warisan budaya, pencapaian cemerlang dan semangat kepimpinan berwawasan.

Sebahagian alumni yang hadir dalam Majlis Makan Malam AmaL Alumni bergambar bersama Pengetua, Dr Marcus Shapi dan Pengerusi Penaja Alumni SEMETRA, En Naasun Dolimau.
Sambutan dimulakan dengan Majlis Kesyukuran dan Doa Selamat sebagai lambang penghargaan atas rahmat dan pencapaian sekolah selama empat dekad. Bacaan Yasin dan solat hajat yang dipimpin oleh guru-guru agama bukan sekadar ritual keagamaan, tetapi merupakan manifestasi rasa syukur dan pengharapan untuk masa depan yang lebih cemerlang dan gemilang.
Program dimeriahkan dengan Acara Sukan Tradisi dan Sambutan Tadau Kaamatan yang membawa semangat kecintaan dan penghargaan terhadap kebudayaan di tengah-tengah komuniti sekolah. Aktiviti seperti sukan rakyat, persembahan serta pertandingan kepelbagaian budaya bukan sahaja memupuk semangat perpaduan, tetapi turut mengangkat identiti budaya tempatan dalam kalangan generasi muda dan masyarakat setempat.
Sambutan diserikan dengan Majlis Anugerah Pelajar Cemerlang, yang memberi pengiktirafan kepada pelajar dalam bidang akademik, kokurikulum dan kepimpinan. Datuk Dr Misterine Radin, Tokoh Kepimpinan Pendidikan Kebangsaan 2025, turut hadir sebagai tetamu khas bagi menyampaikan amanat dan menyemai semangat juang dalam kalangan pelajar, pendidik dan ibu bapa. Beliau menegaskan bahawa pendidikan adalah senjata terkuat untuk mengubah kehidupan dan masa depan masyarakat.

MOTIVASI … Datuk Dr Mistrine Radin hadir memberi suntikan semangat dan motivasi kepada warga SEMETRA sempena Majlis Anugerah Pelajar Cemerlang.
Sorotan utama sambutan ialah Sesi Bual Bicara SEMETRA Glory yang menampilkan empat panel jemputan terdiri daripada individu penting dalam sejarah dan pembangunan sekolah.
Panel pertama, Tuan Jamal Senggogot, pemangku pengetua SEMETRA yang banyak berjasa kepada sejarah awal penubuhan sekolah. Beliau mengimbau detik-detik awal penubuhan sekolah yang berdepan pelbagai kekangan, namun dibina atas keyakinan dan iltizam tinggi terhadap kuasa pendidikan. Kisah beliau menyentuh bagaimana pendidik pada waktu itu berjuang membawa sinar ilmu ke pedalaman, biarpun dalam keadaan serba kekurangan. Menurutnya, semangat dan tekad tinggi para pendidik ketika itu menjadi tonggak utama membawa pendidikan ke pelosok pedalaman, mengatasi pelbagai cabaran prasarana dan logistik.
Panel kedua menampilkan alumni cemerlang yang kini berjaya dalam kerjaya profesional, Tuan Simiun bin Lomudin, Pegawai Kanan Polis merangkap Ketua Polis Daerah Kota Marudu. Berkongsikan kisah perjuangan menuntut ilmu di asrama dalam keadaan serba daif dan penuh cabaran, sesungguhnya mampu membentuk jati diri pelajar untuk lebih kuat, tabah dan ampuh. Beliau mengubah setiap cabaran hidup ketika itu menjadi bahan bakar yang menggerakkan transformasi dirinya hingga berjaya seperti hari ini, selain mengingatkan ibu bapa sebagai nadi, tunjang dan pencetus transformasi anak-anak.
Sementara panel ketiga, Dr Marcus Shapi, Pengetua SEMETRA masa kini, berkongsikan strategi kepimpinan dan kejayaan terkini sekolah yang mencatatkan kedudukan ke-21 terbaik daripada 266 buah sekolah menengah di Sabah, dengan catatan Gred Purata Sekolah (GPS) 3.70. Beliau menegaskan bahawa kejayaan ini lahir daripada sinergi kukuh antara guru, murid dan ibu bapa termasuk komuniti setempat, selain inovasi menjadikan asrama sebagai pusat kecemerlangan sama ada dalam pembangunan sahsiah, akademik mahupun kokurikulum.

Pasukan pemain gong sekolah.
Panel terakhir, Tuan Junaidi bin Yunus, Timbalan Pegawai Pendidikan Daerah Ranau dan juga merupakan alumni cemerlang SEMETRA, telah berkongsikan pandangan tentang kesinambungan kecemerlangan pendidikan menerusi cara berfikir murid dan ibu bapa termasuk kepimpinan berwawasan, inovasi berterusan dan sokongan komuniti. Beliau menyeru agar pelajar menanam iltizam tinggi terhadap pendidikan, dan menyeru masyarakat khususnya ibu bapa untuk mematahkan stigma lama terhadap pendidikan, yakni memecahkan mentaliti lama yang meminggirkan kepentingan pendidikan serta membudayakan sikap meletakkan ilmu sebagai keutamaan. Menurutnya, ibu bapa perlu menukar paradigma lama dengan menjadikan pendidikan sebagai keutamaan mutlak demi masa depan anak-anak yang lebih gemilang.
Sambutan ini mencapai puncak gemilangnya dengan perasmian oleh Ahli Parlimen P.179 Ranau, YB Datuk Jonathan Yassin, yang menyuntik motivasi kepada para pelajar agar tidak gentar menghadapi sebarang cabaran dan tidak mudah berputus asa walaupun berdepan pelbagai kekangan dan dugaan, sama ada ketika dalam proses belajar mahupun dalam menghadapi perjalanan hidup semasa. Menurut beliau, kekalahan sebenar bukan terletak pada kegagalan, tetapi pada mereka yang memilih untuk menyerah sebelum berjuang.
Sambutan ulang tahun ke-40 ini diakhiri dengan Majlis Malam Amal Alumni yang berlangsung dalam suasana sederhana tetapi sarat dengan nilai kenangan dan nostalgia. Majlis yang berjaya menghimpun lebih 300 alumni ini bukan sahaja menjadi wadah mempertemukan semula alumni daripada pelbagai generasi, malah turut menjadi platform penjanaan dana untuk pembangunan sekolah serta kebajikan pelajar.
Sambutan Jubli Ruby ini menjadi bukti bahawa sekolah pedalaman seperti SEMETRA mampu melahirkan legasi yang membanggakan apabila wujud jalinan erat antara semua pihak dalam membina ekosistem pendidikan yang progresif dan inklusif.
SEMETRA kini bukan lagi sekadar sebuah sekolah di pedalaman, tetapi simbol harapan, ketabahan dan cita-cita yang akan terus menyinar demi generasi akan datang. Seiring temanya, “Sekolah Pedalaman, Legasi dan Aspirasi,” SEMETRA terus melangkah ke hadapan dengan semangat baharu, membina masa depan berteraskan warisan kegemilangan, berinspirasikan impian besar demi generasi akan datang. Oleh: Doreen Pius



