
Pemandangan udara pada waktu malam di jalan-jalan utama sekitar pusat bandar Kuala Lumpur kelihatan lengang ketika tinjauan. -Foto Bernama
KUALA LUMPUR – Mulaitengah malam ini, khidmat Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dikerah untuk membantu Polis Diraja Malaysia (PDRM) memantau pematuhan Perintah Kawalan Pergerakan bagi memastikan rakyat berada di rumah masing-masing dalam usaha membendung koronavirus (Covid-19).
Perkara tersebut diputuskan oleh Menteri Pertahanan yang juga Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada satu sidang akhbar di Kuala Lumpur semalam.
Usaha kawalan itu dibuat di bawah Seksyen 5 Akta Pencegahan dan Kawalan Penyakit Berjangkit 1988.
Langkah itu dilaksanakan bagi mengurangkan beban PDRM dalam penugasan sepanjang perintah berkenaan selain mahu melihat keberkesanannya terhadap orang awam yang enggan mematuhi perintah tersebut.
Ketika ini, PDRM telah melakukan 504 sekatan jalan raya di seluruh negara melibatkan penugasan kira-kira 8,600 anggotanya.
Isnin lalu, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengisytiharkan Perintah Kawalan Pergerakan di seluruh negara sehingga 31 Mac ini bagi mengekang penularan Covid-19. –
Sumber: Sinar Harian



