Tun Musa menerima cenderamata daripada Brenndon (kanan) sejurus pertemuan di Istana Seri Kinabalu.-Foto: Penerangan
KOTA KINABALU: Pindaan Enakmen Cukai Jualan Negeri Sabah 1998 bakal mengukuhkan pelaksanaan dan hasil kutipan cukai jualan negeri.
Peguam Besar Negeri Sabah, Brenndon Keith Soh berkata enakmen tersebut kini menyumbang hampir separuh daripada hasil negeri setiap tahun.
“Pindaan ini merupakan antara langkah penting dalam memperkasa kewangan negeri dan memberi keupayaan lebih besar kepada Sabah untuk merancang pembangunan mengikut acuan sendiri selaras dengan hak negeri di bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63),” katanya kepada media selepas mengadakan kunjungan hormat kepada Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Musa Aman di Istana Seri Kinabalu, pada Rabu.
Menurut Brenndon, jabatannya turut meneliti Enakmen Mahkamah Anak Negeri yang baharu bagi memperkemas struktur dan peranan institusi tersebut serta merangka Enakmen Perubahan Iklim yang memberi fokus kepada pengiktirafan dan perlindungan hak karbon negeri.
Katanya, pada kunjungan tersebut turut dibincangkan aspek penyelarasan undang-undang berkaitan tanah, alam sekitar dan tadbir urus negeri dalam memastikan Sabah terus bergerak ke hadapan dalam kerangka pembangunan mampan dan berpaksikan undang-undang.
Selain itu, beliau turut memaklumkan Tun Musa mengenai pencapaian Jabatan Peguam Besar dalam aspek penyediaan draf perundangan, nasihat undang-undang kepada agensi kerajaan serta pelaksanaan dasar-dasar kerajaan negeri yang memerlukan perhatian dari sudut perundangan.
“Sebagai penasihat undang-undang kepada kerajaan negeri, kami komited untuk memastikan setiap dasar yang dirancang dan dilaksana adalah mematuhi kerangka undang-undang serta menjamin kepentingan rakyat Sabah,” jelas beliau.
Hadir sama dalam kunjungan itu ialah pegawai-pegawai kanan dari Jabatan Peguam Besar Negeri Sabah./Penerangan–



