Pelajar yang menyertai taklimat Labuan Industri.
LABUAN : Fakulti Kewangan Antarabangsa Labuan (FKAL) telah mengadakan sesi Taklimat Latihan Industri dengan kerjasama Labuan International Insurance Association (LIIA) bagi mempersiapkan pelajar tahun akhir menghadapi latihan industri mereka yang akan datang.
Program ini berlangsung di Dewan Kuliah Pusat (DKP 1) dan dimulakan dengan ucapan alu-aluan daripada Timbalan Dekan HEPA Dr Noor Hassanah Husin, diikuti dengan ucapan oleh Pengerusi LIIA, Annie Undikai yang menekankan kepentingan pendedahan kepada industri, kesiapsiagaan tempat kerja, serta kerjasama antara universiti dan pemain industri.
Sesi ini melibatkan pelajar tahun akhir dari tiga program akademik: Kewangan Antarabangsa (Perbankan Antarabangsa dan Luar Pesisir), Perniagaan Antarabangsa (Pemasaran Antarabangsa), dan Kewangan Antarabangsa (Ekonomi Kewangan).
Latihan industri bagi pelajar-pelajar ini akan berlangsung dari 6 Oktober 2025 hingga 22 Mac 2026. Taklimat ini bertujuan memberi panduan dan gambaran yang jelas sebelum pelajar memasuki dunia industri insurans antarabangsa.
Wakil LIIA memperkenalkan syarikat-syarikat ahli dan menjelaskan jangkaan terhadap pelatih, termasuk kemahiran komunikasi yang baik, kerja berpasukan, pengurusan masa, dan profesionalisme. Pelajar turut digalakkan mengamalkan etika kerja yang baik dan menyesuaikan diri dengan suasana kerja sebenar.
Turut hadir dalam sesi ini ialah Gerard Roy Suresh Sharma, Ahli Majlis Kanan LIIA dan Abie Pua Boon Leng.
Sorotan utama program ini ialah pelancaran Program Rintis Industri Mentorship, yang memberi peluang kepada 20 pelajar terbaik untuk menerima bimbingan terus daripada profesional industri, pemahaman tentang keperluan pasaran kerja, serta peluang pembangunan kendiri sepanjang tempoh latihan industri.
Kerjasama berterusan antara FKAL dan LIIA ini mencerminkan komitmen bersama untuk melahirkan graduan yang berkualiti, bersedia untuk industri, dan memperkukuh hubungan antara akademia dan sektor industri.



