ADVERTISEMENTspot_img

JKKK mesti sehaluan dengan ‘government of the day’: Abidin

Abidin (tengah) dan para pengerusi JKKK yang dilantik di dalam majlis tersebut


RANAU: Semua Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) mesti sentiasa memberi kerjasama yang tinggi kepada Wakil Rakyat dan juga Pejabat Unit Pemimpin Pembangunan Masyarakat (UPPM)
Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri, Datuk Abidin Madingkir berkata hal tersebut penting bagi melancarkan segala urusan terutama sekali dalam hal mengurus kemajuan kampung.


Justeru, katanya, tidak hairanlah mengapa khidmat beberapa Pengerusi JKKK tidak dapat diteruskan kerana mereka sudah berhijrah ke ‘rumah lain’ selepas PRN16 yang lalu.


“Keadaan seperti ini memang bukan luar biasa kerana kita mahu supaya semua Pengerusi JKKK sentiasa memberi kerjasama yang tinggi kepada Wakil Rakyat dan juga Pejabat Uppm dalam mengurus kemajuan kampung.


“Saya melihat kebanyakan Pengerusi JKKK kita sudah berpengalaman selama beberapa tahun ini.
“Walaubagaimanapun perlu diingati bahawa tanggungjawab mereka adalah berkait rapat dengan pembangunan dan kemajuan kampung serta keselamatan kampung,” katanya.


Abidin yang juga Adun Paginatan berkata, perlantikan badan berkenaan adalah dalam bidang kuasa Kerajaan Negeri atas cadangan dan sokongan Wakil Rakyat. Oleh itu, katanya JKKK adalah tertakluk kepada dasar-dasar kerajaan iaitu ‘government of the day’.


“Elakkan memburuk-burukkan kerajaan kerana kamu memperolehi perlantikan daripada Kerajaan semasa dan seharusnya memberikan kerjasama dan sokongan tidak berbelah bagi kepada Kerajaan semasa,” tegas beliau.


Tambah beliau, JKKK juga penting untuk memainkan peranan sebagai agen pengumpulan data kampung untuk tujuan perlaksanaan program pembangunan dan kemajuan kampung.


“Mereka juga harus memainkan peranan sebagai mata dan telinga kepada Kerajaan untuk melaporkan segala pemaslahan kampung,” katanya semasa Majlis Amanat dan Penyampaian Watikah Perlantikan JKKK DUN Paginatan di sini baru-baru ini.


Abidin berkata, peranan JKKK berbeza dengan tugas Ketua Kampung yang berperanan sebagai pemegang adat istiadat kampung, menyelesaikan pertikaian tanah dan juga bertanggung jawab mengenai penyediaan profile kampung.


Untuk DUN Paginatan, katanya, dalam beberapa tahun ini, pihaknya sudah berjaya mengujudkan sembilan JKKK yang baru, dan usaha berterusan akan dijalankan supaya JKKK baru dapat diujudkan di mana ada keperluan.


“Sekali lagi saya ucapkan syabas dan tahniah kepada semua Pengerusi JKKK yang telah menerima Watikah Perlantikan pada kali ini dan saya ucapkan Selamat Bertugas kepada anda,” katanya.


Di majlis itu, seramai 84 Pengerusi JKKK telah menerima Watikah Perlantikan mereka yang disampaikan sendiri oleh Abidin selaku Wakil Rakyat di DUN N38 Paginatan.


Sementara itu, PPM Paginatan, Hishamudin Harun turut mengucapkan syabas dan tahniah kepada semua JKKK yang menerima Watikah Perlantikan pada majlis tersebut.


Dengan adanya Watikah Perlantikan ini, katanya, diharap memberi keyakinan kepada Pengerusi JKKK untuk menjalankan tugas sebagai JKKK Kampung.


Beliau sarankan agar semua Pengerusi JKKK yang berkenaan untuk sentiasa berhubung dengan Pejabat UPPM jika menghadapi sebarang kemusykilan mengenai pentadbiran kampung.


“Kita amat bersyukur kerana mempunyai Wakil Rakyat yang cukup berpengalaman dalam bidang pentadbiran.


“Wakil Rakyat kita pada umur 34 tahun sudah memegang jawatan sebagai Setiausaha Tetap Kementerian dan menerajui beberapa Kementerian sebagai Setiausaha Tetap selama 22 tahun sehinggalah beliau dilantik Mayor Bandaraya Kota Kinabalu.


“Kita beruntung kerana melalui pengalaman beliau dalam pentadbiran ini boleh dimanfaatkan di peringkat UPPM dan juga JKKK Kampung. Ini lah sebenarnya pemimpin yang kita mahu dan idam-idamkan dan beliau masih amat releven sebagai Wakil Rakyat kita di DUN Paginatan,” katanya.


Hishamudin turut menyarankan supaya Pengerusi JKKK sentiasa proaktif dalam menyediakan pengkalan data kampung masing-masing yang akan kita majukan kepada Pejabat Daerah supaya Pejabat Daerah mempunyai data yang lengkap sekiranya ada program kerajaan yang hendak dilaksanakan di kampung-kampung
“Pemilihan Pengerusi JKKK tidak memilh warna tetapi dipilih melalui merit seseorang dan seharusnya ia tidak dipertikaikan.


“Pihak UPPM sentiasa memantau gerakkerja mereka dan sesiapa yang didapati tidak menepati KPI mereka sudah tentunya digantikan oleh orang lain yang difikir lebih berkebolehan,” kata beliau.


Turut Hadir di majlis itu, Pegawai Khas Datuk Abidin Madingkir, Juis Konsuling, CDO Jipili Sigal, KAN Sawalin Zakaria, mewakili Mahkamah Anak Negeri Ranau dan lain-lain.

ADVERTISEMENTspot_img
BERITA BERKAITAN