Para penerima geran menunjukkan geran mereka sambil diperhatikan oleh Abidin (tengah, belakang), Jaidi dan lain-lain dalam acara tersebut
RANAU: Lebih 600 orang penduduk kampung bersorak kegirangan selepas menerima geran tanah yang diserahkan dalam Majlis Penyerahan Geran Tanah Anak Negeri Sabah (PANTAS) oleh Pembantu Menteri Kepada Ketua Menteri Sabah Datuk Abidin Madingkir di sini pada Selasa lepas.
Abidin yang juga ADUN Paginatan berkata, ia merupakan hari bersejarah bagi penerima-penerima geran tanah kerana sebahagian daripada mereka merupakan pengalaman pertama memiliki geran tanah.
“Geran tanah adalah harta yang amat berharga dan akan dinikmati generasi turun temurun. Syabas dan tahniah kepada para penerima dan juga AJK Pelaksana Penyerahan Geran PANTAS ini.
“Selaku Wakil Rakyat, adalah keutamaan bagi saya untuk berusaha mengeluarkan geran tanah ini dan kita bersyukur kerana kita mempunyai Penolong Pemungut Hasil Tanah (PPHT) yang amat komited membantu wakil rakyat untuk mengeluarkan geran-geran tanah ini,” katanya.
Abidin berkata, penyerahan geran-geran tanah PANTAS seterusnya akan dilaksanakan di Kg Narawang, Waluhu dan Lutut dalam masa yang terdekat.
Menurutnya, Program Pantas adalah inisiatif kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) selain daripada program-program lain seperti SYUKUR, program pembangunan modal insan dan sebagainya.
“Kerajaan memperuntukkan RM20 juta untuk membiayai Program PANTAS di seluruh Sabah. Ini adalah antara program- program kerajaan di bawah halatuju Pembangunan SMJ 1.0. Semuanya adalah program mensejahterakan rakyat.
“Saya menyeru kepada semua penduduk Kg Sagindai (Lama dan Baru) dan Kg. Sungangon untuk terus memberi sokongan tidak berbelah bagi kepada Kerajaan GRS dan memberi mandat yang baru kepada Kerajaan GRS supaya Pelan Pembangunan SMJ 2.0 dapat diteruskan pasca PRN17,” kata beliau.
PPHT Ranau, Jaidi Adrian Gulis berkata, program bersejarah perlaksanaan Program PANTAS Kg. Sagindai Lama dan Baru dan Kg. Sungangon semuanya tercetus hasil inisiatif pemimpin terunggul di sini iaitu Datuk Abidin Madingkir.
“Disebabkan kurang penyukatan tanah di Kg Sagindai atas masalah pertindihan permohonan tanah, pada tahun 2019, Abidin memohon supaya Program Penyukatan PANTAS dilaksanakan di Kg. Sagindai Lama dan Baru dan Kg. Sungangon.
“Beliau sanggup mengeluarkan dana RM10,000 sebagai dana awal supaya program ini dapat dilancarkan di ketiga-tiga kampung tersebut. Usaha berterusan Wakil Rakyat kita membolehkan Program PANTAS ini dapat direalisasikan.
“Walaupun terdapat bantahan pada awalnya, kini peta Kg. Sagindai telah dipenuhi dengan geran geran tanah yang sudah diukur,” katanya.
Tambah beliau, pada 18 Oktober 2024 yang lalu, Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah melakukan gimik penyerahan geran PANTAS, dan pada 25 Februari 2025, penyerahan secara rasmi disempurnakan oleh YAB Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Hajiji Hj Noor.
Menurutnya, jumlah keseluruhan geran tanah yang telah dikeluarkan dan akan diserahkan kepada penerima adalah 650 geran untuk ketiga tiga kampung iaitu Kg. Sagindai Baru, Sagindai Lama dan Kg. Sungangon.
“Kita amat mensyukuri usaha Datuk Abidin kerana mempermudahkan pengeluaran geran tanah tersebut. Diharap pemilik geran dapat mengusahakan tanah-tanah mereka dan tidak menjual geran tanah tersebut kepada orang lain,” katanya.
Dalam pada itu, Pengerusi Pelaksana, Roslan Sakandal berterima kasih kerana akhirnya berpeluang memiliki geran tanah atas usaha Wakil Rakyat dan juga Jabatan Tanah dan Ukur Ranau.
Beliau mewakili penduduk, mengucapkan ribuan terima kasih atas usaha berterusan Datuk Abidin dan juga Jabatan Tanah dan Ukur Ranau kerana berjaya merealisasikan impian kami memiliki geran tanah.
Ketua Kampung, Didimus Jain berterima kasih atas komitmen kerajaan merealisasikan pengurusan pengeluaran geran tanah. Ini, katanya, menunjukkan kecekapan pihak Jabatan Tanah dan Ukur yang diketuai oleh Jaidi.
“Terimakasih juga khusus untuk Wakil Rakyat kerana komitmen yang tinggi untuk merealisasikan impian penduduk kampung di kedua Kampung.
“Atas inisiatif beliau pada awal tahun 2019 untuk melaksanakan Program PANTAS di Kg. Sagindai, maka inilah hasilnya. Lebih 600 geran tanah kita sudah perolehi,” katanya.
Beliau menyeru kepada seluruh penduduk kampung supaya memberi sokongan tidak berbelah bagi kepada Abidin untuk terus menjadi Wakil Rakyat DUN Paginatan atas keprihatinan dan komitmen beliau memberi khidmat yang cemerlang kepada rakyat khususnya di DUN Paginatan.
Tambahnya, pengeluaran geran tanah tersebut adalah satu kejayaan secara kolektif, hasil kerjasama banyak pihak, orang kampung dan agensi kerajaan dan dinahkodakan oleh Abidin sendiri.
Turut Hadir PPM Hishamudin Harun, Pegawai Khas Datuk Abidin Madingkir, Juis Konsuling, PJKK Razak Kahar, CDO Jipili Sigal, PM Jasni Mastun, KAN Dualis Porodtong dan lain-lain.



