Azman ketika berucap pada majlis tersebut.
LABUAN: Penganjuran Rumah Terbuka Aidilfitiri yang dilaksanakan setiap kali menjalang Hari Raya Aidilfitri menjadi wadah dalam menyatupadukan rakyat berbilang kaum disamping mewujudkan masyarakat yang harmoni.
Demikian kata, Pengarah Jabatan Penerangan Malsysia, Wilayah Persekutuan Labuan, Azman Sipan ketika berucap pada Program Jiwa@Komuniti MADANI: Sambutan Rumah Terbuka Aidilfitri di balai raya Kampung Layang Layangan, di sini kelmarin.
Beliau berkata, amalan rumah terbuka merupakan satu medium untuk mengenali dan memahami budaya pelbagai kaum di dalam Malaysia.
“Program Rumah Terbuka yang dianjurkan bertujuan untuk menyokong konsep Malaysia Madani menerusi program bersama komuniti berteraskan kepada aktiviti penyaluran maklumat dan gotong-royong bersama rakyat” katanya.

Sebahagian orang ramai yang hadir memeriahkan program tersebut
Jelasnya, usaha sedemikian adalah sumber kekuatan Jabatan Penerangan Labuan dalam memperkasa usaha memasar dan menyampaikan dasar semasa kerajaan selain menyemarakkan Wilayah Persekutuan Labuan.
Program Jiwa@Komuniti MADANI:Rumah Terbuka Aidilfitri yang dianjurkan Jabatan Penerangan Labuan dengan kerjasama Komuniti Madani dan Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Layang-Layangan dihadiri hampir 1,000 penduduk setempat dan sekitarnya.
Hadir sama pada majlis itu, Timbalan Pengerusi Perbadanan Labuan Simsudin Sidek, Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Labuan, Mohd Sukuran Taib dan Timbalan Pengarah Jabatan Penyiaran Labuan Horwad Martin Kim Sung @ Cornelius.



