Masidi Manjun
KOTA KINABALU: Kabinet Sabah yang bermesyuarat hari ini meluluskan Skim Insurans Berkelompok, yang bakal memberi manfaat kepada lebih kurang 3.5 juta penduduk tempatan.
Menteri Kewangan Sabah Datuk Seri Panglima Haji Masidi Manjun berkata, perlindungan insurans kemalangan (Personal Accident) itu adalah percuma kepada setiap penduduk yang layak.
“Perlindungan insurans ini akan dilaksanakan melalui syarikat milik Kerajaan Negeri Sabah, Progressive Insurance Bhd.
“Lebih kurang 3.5 juta penduduk Sabah yang berumur antara satu bulan hingga 80 tahun secara automatik akan memperolehi insuran perlindungan diri secara percuma yang bernilai sehingga RM10,000, berserta faedah khairat kematian sebanyak RM500,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Menurut Masidi, sebagai permulaan, skim perlindungan percuma ini adalah untuk tempoh tiga tahun bermula 1 Mei depan sehingga 30 April 2028.
“Skim itu akan melalui proses tuntutan insurans yang cekap selain tuntutan bayaran akan disalurkan kepada penerima dalam masa 14 hingga 30 hari selepas dokumen lengkap dikemukakan.
“Skim perlindungan insurans ini merupakan satu lagi usaha Kerajaan Negeri Sabah menjaga kebajikan rakyat, di samping mengurangkan beban kewangan rakyat khususnya mereka yang tergolong dalam kumpulan B40,” jelas Masidi.



