ADVERTISEMENTspot_img

Kestabilan Ekonomi, Kesejahteraan Rakyat Fokus Belanjawan 2025

Masidi memegang buku Belanjawan Sabah 2025.

KOTA KINABALU : Kestabilan ekonomi dan kesejahteraan rakyat menjadi fokus Belanjawan Sabah 2025.


Menteri Kewangan, Datuk Seri Panglima Masidi Manjun berkata, kedua-dua perkara berkenaan adalah berkait rapat kerana tahap kemajuan ekonomi akan mempengaruhi taraf hidup rakyat.


“Dengan strategi mengagihkan peruntukan kepada sektor-sektor produktif di bawah Belanjawan ini, kerajaan yakin ekonomi negeri akan bertambah kukuh ke arah meningkatkan lagi kemakmuran negeri dan kesejahteraan rakyat.


“Saya ingin menegaskan betapa pentingnya untuk kita berbelanja mengikut keupayaan berasaskan sumber hasil yang mampu dikutip.


“Semua pihak perlu mengutamakan pengurusan yang cekap dan mengamalkan disiplin kewangan yang tinggi.


“Pendekatan ini selaras dengan aspirasi Kerajaan Sabah untuk memantapkan kedudukan kewangan di samping menangani masalah ketirisan dan pembaziran hasil,” katanya

 dalam Mesyuarat Ketiga Penggal Kelima Dewan Undangan Negeri Sabah Keenam Belas yang berlangsung di sini, pada Jumaat.

Jelas Masidi, bagi merealisasikan matlamat tema Belanjawan Negeri 2025 iaitu “Sabah Makmur, Rakyat Sejahtera”, kerajaan negeri julung kalinya mencadangkan satu Anggaran Perbelanjaan Perbekalan tertinggi dalam sejarah iaitu sebanyak RM6.421 billion dengan Anggaran Hasil Negeri iaitu RM6.445 billion.

“Meskipun begitu, Belanjawan Negeri 2025 masih mencatatkan Belanjawan Lebihan atau Surplus Budget sebanyak RM24.08 juta,” tambahnya.

Antara intipati Belanjawan Sabah 2025 termasuk Program Sentuhan Kasih Rakyat sebanyak RM300 sebulan selama setahun, pembinaan 3,000 unit Rumah Mesra Sabah Maju Jaya (SMJ) di seluruh Sabah bernilai RM250 juta, bantuan one-off RM5,000 kepada peniaga gerai kecil tepi jalan yang mempunyai lesen perniagaan yang sah dan peruntukan khas dan pembangunan kecil seluruh Sabah sebanyak RM214 juta bagi pembinaan serta penyelenggaraan infrastruktur dan kemudahan awam.

Selain itu, peruntukan  RM19.5 juta juga diperuntukkan bagi Program Pembangunan Kecil, Program Penyediaan Kemudahan dan Pembaikan Kawasan (MESEJ), Program Ameniti dan Ekonomi Desa, Program Bekalan Elektrik Luar Bandar Alternatif, Program Bekalan Air Luar Bandar Alternatif dan Program Aktiviti Ekonomi Tambahan.


Turut hadir, Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor, Timbalan Ketua Menteri I, Datuk Seri Panglima Dr. Jeffrey G. Kitingan yang juga Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan, Timbalan Ketua Menteri II, Datuk Seri Panglima Dr. Joachim Gunsalam yang juga Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan serta Timbalan Ketua Menteri III, Datuk Ir. Shahelmey Yahya yang juga Menteri Kerja Raya. -Penerangan-

ADVERTISEMENTspot_img
BERITA BERKAITAN