ANGGOTA menyelamat dan mencari mengangkat mayat mangsa untuk diserahkan kepada PDRM untuk di hantar ke hospital
LABUAN: Mayat Seorang lelaki yang dikhuatiri lemas selepas dipercayai terjatuh dari kapal tunda yang sedang berlabuh di perairan Pulau Papan dekat sini, pada malam Khamis ditemukan oleh Zon Maritim Labuan, pagi ini (Jumaat).
Menurut Pengarah Zon Maritim Labuan, Kepten Maritim Nudin Jusoh, mayat Kenneth Saing, 33, ditemukan oleh sepasukan mencari dan menyelamat pada jam 7. 45 pagi (Jumaat) di kedudukan sekitar 20 meter dari Selatan Jeti Terminal Feri Labuan.
“Mangsa yang bekerja sebagai kru di sebuah kapal tunda ‘Tanjung Biru1’ dilaporkan hilang setelah gagal dikesan oleh rakan mangsa. Kali terakhir mangsa dilihat sekitar jam 6 petang pada hari yang sama” katanya dalam satu kenyataan di sini, pada Jumaat.
Beliau berkata, kesemua barang peribadi mangsa masih berada di atas kapal berkenaan yang sedang bersauh sebelum meneruskan pelayaran menuju ke Miri Sarawak.
Nudin berkata, pihaknya telah melakukan operasi mencari dan menyelamat selepas menerima laporan daripada Maritime Resque Sub Centre (MRSC) Kota Kinabalu sekitar jam 9.40 malam.
Jelas beliau, turut terlibat dalam operasi mencari dan menyelamat itu ialah anggota PDRM, Pasukan Polis Marin (PPM), Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Labuan, dan Angkatan Pertahanan Awam.
“Mayat mangsa telah diserahkan kepada Unit Forensik PDRM untuk siasatan lanjut’, katanya.



