RISWAN (kiri) menunjukkan sebahagian produk tempatan yang dihasilkan oleh pengusaha kecil kecilan untuk dijual kepada pengunjung .
LABUAN: Pengusaha kecil kecilan yang mengusahakan produk makanan tempatan berpeluang untuk menambah pendapatan dengan menghantar produk mereka ke sebuah syarikat food vendor Minimart dan cafe yang terletak di Lot 7 Medan Maeda Terminal Feri penumpang lama di pusat bandar, di sini.
Pengurus syarikat Minimart and Cafe, Riswan Abdul Salim berkata, pihaknya mengalu-alukan pengusaha khususnya mereka yang terlibat dalam industri kecil sederhana (IKS) untuk membantu menambah pendapatan mereka dengan menghantar hasil produk ke minimart miliknya.
“Setakat ini kami telah menerima lebih 50 jenis produk makanan seperti kuih kering, biskut dan pelbagai jenis kuih dan kek telah dihantar ke minimart kami untuk diniagakan kepada pengunjung utama kami yang sebahagian besarnya adalah pekerja minyak dan gas” katanya di sini kelmarin.
Riswan yang juga pengusaha dalam bidang binaan berkata, minimart dan cafe baharu sahaja beroperasi pada awal bulan November lalu lebih menumpukan kepada perniagaan berasaskan produk makanan yang dihasilkan oleh pengusaha kecil kecilan bukan sahaja untuk membantu golongan tersebut menambah pendapatan tetapi juga dapat mempromosikan produk mereka kepada pengunjung luar.



