KONG SOON CHOI
KENINGAU: Ketua Wiramuda Parti Solidariti Sabah Tanah Airku ( Star), Kong Soon Choi menyambut baik kenyataan Presiden parti itu yang menyatakan Hari Sabah akan diwartakan secara rasmi bermula tahun depan sebagai penghargaan kepada seluruh rakyat negeri ini mengingati sejarah penting itu.
Menurutnya, pewartaan majlis itu menandakan suatu era pembaharuan minda untuk setiap generasi Sabahan memperkuatkan jati diri menyemai rasa cinta terhadap negeri Sabah untuk mengekalkan kestabilan dan keharmonian bersama masyarakat majmuk lain yang hidup saling hormat-menghormati.
“Saya yakin dengan pewartaan Hari Sabah atau Hari Kemerdekaan Sabah, rakyat negeri ini akan lebih menyemai jati diri mereka untuk memperkasakan kedaulatan negeri bersama-sama kepimpinan kerajaan yang ada selain memahami sejarah pembentukan Malaysia “. Jelasnya.
Mengulas mengenai sambutan Hari Sabah yang diadakan di Padang Bandaran Keningau, Kong yang juga Timbalan Ketua Pemuda Gabungan Rakyat Sabah (GRS) berkata, ia perlu dikekalkan dan diperluaskan ke seluruh pelosok daerah lain setiap tahun agar kemeriahan sambutan berkenaan dapat dihayati bersama.

PERARAKAN BENDERA NEGERI SABAH….Kong bersama barisan kepimpinan Wiramuda Star Sabah membawa bendera Sabah dalam majlis sambutan Hari Sabah.
Dalam masa sama, beliau juga mengulangi komitmennya sebagai seorang pemimpin politik untuk terus memberikan kerjasama jitu dengan segenap kepimpinan kerajaan negeri dan Persekutuan untuk mempastikan kemajuan negeri Sabah terus meningkat dari masa ke semasa.
“Selama 59 tahun usia kemerdekaan Sabah sudah menunjukkan suatu kematangan yang membolehkan para pemimpin menguruskan hak-hak sewajarnya yang diperolehi daripada negeri Sabah dengan lebih konsisten”.
“Justeru, sebagai sebahagian pemimpin Sabahan, saya bersama-sama golongan muda-mudi tetap akan berusaha sedaya yang mampu untuk mempastikan kemajuan negeri ini terus meningkat”. Katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media dalam Majlis Jelajah Hari Sabah anjuran Persatuan Gerakan Kebajikan dan Kemajuan Sabah (GERAKMAJU) dengan kerjasama Belia STAR, Parti Maju Sabah (SAPP) dan Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) Maju Angkatan Sabah (MAB) dekat sini pada Rabu yang dirasmikan oleh Datuk Seri Panglima Dr.Jeffrey Kitingan.



