Antara peserta pertandingan pakaian tradisi kategori kanak-kanak sempat merakam gambar bersama rombongan daripada pejabat Parlimen Ranau.
RANAU: Keunikan dan kecantikan pakaian tradisi menerusi acara Pertandingan Unduk Ngadau sempena sambutan Pesta Kaamatan setiap tahun, terserlah dan berupaya mengekalkan budaya suku kaum Dusun agar pakaian tradisi mereka tidak hilang ditelan zaman.
Pegawai Perhubungan Khidmat Rakyat Parlimen Ranau, Julubin Bin Harun berkata, pertandingan memperagakan kecantikan pakaian tradisi suku kaum Dusun melibatkan remaja wanita atau kanak-kanak merupakan suatu usaha positif bagi memelihara dan mengekalk kecantikan corak dan tenunan asli dan moden pakaian yang diperagakan terutama semasa menyambut Pesta Kaamatan di peringkat Desa, Pekan, negeri mahupun kebangsaan.

Pemenang pertandingan pakaian tradisi menerima hadiah disampaikan Suzie Muyan dari Pejabat Parlimen Ranau.
“Dengan sebab itu suku kaum Kadazan, Dusun, Murut dan Rungus (KDMR) perlu mengekal dan memelihara pakaian tradisi masing-masing untuk diwarisi generasi muda belia-beliawanis mereka”,jelas Julubin ketika berucap mewakili Timbalan Menteri Kementerian Dalam Negeri II, yang juga Ahli Parlimen Ranau, Datuk Jonahan Yasin bagi merasmikan majlis Tadau Kaamatan di Kg.Pahu-Himbaan Ranau pada Sabtu.
Menyentuh majlis itu, Julubin menyifatkannya sebagai landasan memperkukuhkan perpaduan dan keharmonian antara penduduk tanpa dibatasi suku kaum, agama, budaya dan idologi politik.
“Kita sama-sama mengharapkan agar semangat bersatu padu sebagai ‘Satu Keluarga Malaysia’ mampu mengekalkan persaudaraan yang sedia terjalin antara kita”, tambah Julubin.



