ADVERTISEMENTspot_img

MAIWP Labuan turun padang tinjau masalah asnaf

SERAH…. Mohd Nizam  (dua kiri) menyerahkan secara simbolik bantuan rumah MAIWP kepada Rosnah sambil diperhatikan Md. Fadzli (kanan sekali)

LABUAN: Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) Labuan sentiasa turun padang bukan sahaja semata mata untuk meninjau keadaan asnaf tetapi juga berusaha untuk membantu golongan tersebut daripada terus dihimpit kemiskinan dan kepayahan hidup.

Sehubungan itu, pada Selasa lalu, Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif MAIWP, Ustaz Mohd Nizam Yahya bersama Pengurus MAIWP Labuan, Ustaz Md Fadzli Md Saad bersama kakitangannya telah melakukan program Kunjung Ziarah  untuk meninjau  dan menghulurkan bantuan tambahan kepada golongan asnaf yang dikunjungi.

Antara golongan asnaf yang sempat dikunjugi dalam program itu ialah Mohd Izwani Matzamin  di Kampung Bebuloh Laut yang telah kehilangan pekerjaan ekoran pandemik COVID 19  dan terpaksa menyara keluarga dengan mengambil upah membaiki  barangan elektrik dan kereta.

Ayah kepada lapan orang anak ini memperoleh purata pendapatan RM200.00 ke RM300.00 sebulan  selain menerima Bantuan Kewangan Bulanan MAIWP RM500.00 sebulan untuk menampung keperluan sepuluh beranak.

 Hasil  daripada kunjung ziarah itu, Mohd Nizam Yahya bersetuju untuk  meluluskan kenaikan kadar bantuan bulanan dari RM500.00 kepada RM700.00 sebulan bagi membantu meringankan beban keluarga Mohd Izwani.

Zarah… Mohd Nizam ketika menziarahi keluarga Laja di Kampung Gersik.

Dalam pada itu, Mohd Nizam turut mengesyorkan kepada Mohd Izwani mendapatkan rumah sewa yang mempunyai kelengkapan tiga bilik dan sesuai menempatkan anak-anaknya yang semakin membesar. 

Sementara itu, di Kampung Gersik, Mohd Nizam  berkunjung ziarah ke rumah Laja Zainudin yang juga seorang Bilal di Surau  Nurul Islam dengan pendapatan sebulan RM1,200.

Oleh kerana Laja Zainudin yang    mempunyai tanggungan seorang isteri dan tujuh anak serta pendapatan yang sedia ada tidak dapat menampung keperluan hidup, MAIWP Labuan menyalurkan bantuan kewangan bulanan  sebanyak RM500.00 sebulan serta bantuan sewa rumah sebanyak RM400 sebulan dan juga bantuan makanan asasi MAIWP sebanyak RM150.00 sebulan.

Prihatin dengan desakan ekonomi semasa, Mohd Nizam telah meluluskan kenaikan kadar bantuan bulanan dari RM500.00 sebulan kepada RM700.00 sebulan serta pembayaran penuh rumah sewa bulanan sebanyak RM500.00 sebulan.

Di Kampung Pohon Batu,  Mohd Nizam telah menyempurnakan penyerahan sebuah rumah bantuan MAIWP  bernilai RM70,000 kepada seorang balu Rusnah Mohamad.

Bantuan disalurkan melalui Skim Bantuan Membina Rumah MAIWP.

 Rusnah,  61, tinggal bersama seorang anaknya berstatus ibu tunggal dengan  dua orang cucunya di rumah bantuan MAIWP.

Sebelum ini, beliau sekeluarga tinggal di atas tanah yang sama namun keadaan rumah yang sangat usang tidak selamat untuk diduduki.

Selain menerima bantuan rumah keluarga ini juga  menerima Bantuan Kewangan Bulanan MAIWP sebanyak RM400.00 dan Bantuan Makanan Asasi MAIWP RM150.00 sebulan.

Sementara itu, Mohd Nizam ketika ditemui berkata, program kunjung ziarah MAIWP akan berjalan secara berterusan bagi memastikan golongan asnaf khususnya di Labuan   tidak terpinggir daripada  menerima bantuan yang disediakan oleh MAIWP.

“Kita akan turun menziarahi beberapa lagi keluarga lain di sini bagi melihat keperluan tambahan yang mungkin diperlukan dalam tempoh peralihan  dari fasa pendamik ke endamik” katanya.

ADVERTISEMENTspot_img
BERITA BERKAITAN