Dari kiri) YDP Hilda, Shamsuddin (mantan PK HEM), Sainin (perasmi), Jaipin (Guru Besar) dan Vincent (Timbalan Pegawai Pendidikan) ketika paluan gong sebagai gimik perasmian
RANAU: Permuafakatan yang baik di antara ibu bapa dan guru mampu menjana kecemerlangan sekolah. Hubungan yang erat dan harmoni amat penting bagi menentukan hala tuju sekolah dan kemenjadian pelajar. Kerjasama antara kedua belah pihak ini harus wujud seperti ‘aur dengan tebing,’ saling memerlukan dan melengkapi.
Demikian ucapan Penyelia Kemajuan Masyarakat N38 Paginatan, Sainin Hamid ketika mewakili ADUN N38 Paginatan merasmikan Sambutan Kaamatan dan Hari Raya di Tapak Perhimpunan Sekolah Kebangsaan Nalapak yang dianjurkan oleh Persatuan Ibu bapa dan Guru (PIBG) sekolah tersebut baru-baru ini.
Menurutnya, peranan dan tanggungjawab PIBG sememangnya memberi kesan langsung kepada pencapaian sekolah kerana ia merupakan landasan untuk meletakkan hala tuju dan matlamat sekolah ke arah kecemerlangan pendidikan.
Katanya, beliau sendiri mempunyai banyak pengalaman dalam pengurusan PIBG apabila pernah menjawat jawatan sebagai Yang Dipertua PIBG sebelum terlibat dengan politik.
“Saya memahami. Banyak cabaran selaku pengerusi PIBG. Adakalanya ia menguji kesabaran kita apabila ada segelintir ahli PIBG yang tidak sependapat, jarang hadir dalam mesyuarat, gotong-royong mahupun program sekolah yang berkaitan dengan kecemerlangan anak-anak,” katanya.
Beliau memuji kerjasama yang diterjemahkan oleh PIBG SK. Nalapak melalui kejayaan penganjuran program PIBG pada hari ini.
“Saya kagum dan ucapkan tahniah kepada Penasihat PIBG selaku Guru Besar, Encik Jaipin Kimburon, Yang Dipertu PIBG, Puan Hilda Hendry, AJK Pelaksana dan semua ahli PIBG kerana berjaya menganjurkan program pada hari ini. Tanpa permuafakatan yang erat, program seperti ini tidak akan berjaya. Apa tah lagi apabila melibatkan kewangan untuk menampung kos program ini, sudah pasti ada kutipan. Syabas dan tahniah,” katanya.
Turut disentuh dalam ucapannya ialah saranan beliau untuk terus menjadikan perayaan-perayaan utama di Malaysia sebagai landasan merapatkan perpaduan kaum.
“Sambutan Kaamatan dan Hari Raya adalah acara rasmi yang sudah diterima oleh semua kaum di Malaysia. Sungguhpun Hari Raya dan Kaamatan adalah dua program yang berbeza namun tetap mempunyai persamaan dari segi merapatkan silaturahim dan menyatupadukan pelbagai kaum di Malaysia amnya dan khususnya di Negeri ini,” jelas beliau.
Turut hadir pada majlis itu ialah Timbalan Pegawai Pendidikan, Sektor Pembelajaran, Vincent Sabin, yang diraikan Guru Besar baharu, Jaipin Kimburon, PK HEM baharu, Mohd. Suffian Samsir dan Mantan PK HEM yang telah dinaikkan pangkat sebagai Guru Besar di SK. Karagasan, Shamsuddin Salamun.



