Mandi-manda sambil bermain tiub pelampung antara yang menyeronokkan pengunjung..
KIULU: Minurod Campsite yang terletak kira-kira 22 kilometer dari pekan Kiulu terus menjadi destinasi para pelancong dalam dan luar.
Pengurus Minurod Campsite, Juanson Moidin 31, ketika ditemui media berkata sepanjang tahun pusat perkelahan ini sentiasa sibuk menerima tempahan daripada para pelancong dalam dan luar negeri. Permintaan tempahan berkemah yang begitu ramai sejak akhir-akhir ini menjadikan pusat pelancongan ini sentiasa sibuk.
“Kita terpaksa mendahulukan tempahan-tempahan yang lebih awal sementara yang lain kita letakkan dalam senarai menunggu. Bulan ini sahaja antara pengunjung yang datang ialah rombongan Camping Group daripada Ranau, rombongan daripada pelakon tersohor negara, Nabila Huda Suhaimi dan penggambaran daripada RTM Sabah VFM ” katanya.

“Adakalanya cuaca tidak menentu menjadi cabaran kerana sungai kita tidak dapat mengizinkan bermandi-manda dan bermain tiub pelampung. Namun para pengunjung tetap berpuas hati menikmati suasana dan kemudahan yang telah kita sediakan seperti pondok-pondok bermalam, kemah pasang siap dan sebagainya. Kita juga dalam proses penyiapan laluan untuk aktiviti ‘hiking’ (mendaki) yang akan dibuka sedikit masa lagi,” katanya.

“Terimakasih kepada para pengunjung kerana memilih Minurod Campsite sebagai pusat perkemahan dan perkelahan. Kami sentiasa menerima cadangan-cadangan positif yang boleh menambah baik pusat ini untuk terus menjadi destinasi utama para pelancong,”katanya.



