Oleh: Marryan Razan
KOTA KINABALU: Pesta Badi (Tamu) Taginambur yang sepatutnya diadakan pada 15 dan 16 Ogos lalu ditunda pada 12 dan 13 Disember ini, di Tamu Mingguan Taginambur dan kawasan Eko-Pelancongan Taginambur River Park, Kota Belud.
Acara itu dijangka akan dirasmikan Timbalan Ketua Menteri merangkap Menteri Pelancongan dan Alam Sekitar Datuk Christina Liew pada 13 Disember ini.
Pelbagai acara menarik telah disusun sempena pesta itu termasuk pameran dan demonstrasi kraftangan, makanan tradisi, pertunjukan muzik tradisional, pameran warisan artifak, pameran produk-produk pelancongan Kadamaian dan jualan bunga-bunga tropika serta pameran daripada agensi-agensi dan jabatan-jabatan Kerajaan.

Turut diadakan ialah sukan rakyat seperti rakit, memancing, renang, pelampung dan sebagainya serta pertandingan Ratu Badi.
Menteri Pembangunan Luar Bandar Sabah yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kadamaian Datuk Ewon Benedick berkata, usaha Persatuan Pelancongan Taginambur Kota Belud (TAGTA) menganjurkan pesta itu perlu disokong semua pihak bagi mempromosikan Tamu Taginambur dan Kadamaian secara keseluruhannya sebagai antara tarikan pelancong dalam dan luar negara.
Baru-baru ini Ewon bersama Jawatankuasa Penganjur Pesta Badi dan para pemimpin Kadamaian mengadakan kunjungan hormat kepada Christina untuk menjemput dan memberi taklimat ringkas mengenai program itu.
Pada kunjungan itu Christina menyampaikan sumbangan sebanyak RM30,000 sebagai sokongan untuk menjayakan Pesta Tamu Badi Taginambur yang akan menjadi acara tahunan dan dimasukkan dalam kalender pelancongan Sabah.
Geran tahunan dari Kementerian Pelancongan Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah (KEPKASS) itu akan disalurkan terus kepada Persatuan Pelancongan Taginambur selaku Jawatankuasa Penganjur.
Ewon berkata, ia merupakan sebahagian daripada aspirasinya dalam Pelan Pembangunan Kadamaian iaitu untuk mengujudkan satu acara tahunan beridentitikan Kadamaian yang ditaja oleh Kerajaan Negeri Sabah.
“Terima kasih kepada KEPKASS kerana bersetuju memberikan geran tahunan dan memasukkan Pesta Tamu Badi Taginambur dalam kalender Pelancongan Sabah sebagai acara tahunan,” katanya.
Beliau berkata Pesta Tamu Taginambur telahpun dilaksanakan sejak tiga tahun lepas dan yakin usaha konsisten itu akan mengangkat kawasan Kadamaian sebagai antara pusat pelancongan luar bandar yang mesti dikunjungi di negeri ini.-TAMAT-



