SERAH….Dr Fary (kiri sekali) bersama Harun (dua kiri) ketika menerima bakul makanan sambil diperhatikan Pengarah JBPM Labuan, Ismaidi Ismail dan Pengerusi MPP Labuan, Mohd Dzulfaizal Ab. Manan (kanan sekali)
Oleh: Jainudin Djimin
LABUAN: Sebanyak 8,000 bakul makanan fasa pertama telah dihantar untuk diagihkan kepada penduduk di lima lokaliti PKPD Bersasar melalui pasukan Ops Wilayah Prihatin Labuan (OPWL).
Turut membantu pasukan itu ialah Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM), Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Jabatan Kerja Raya (JKR) dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Wilayah Persekutuan Labuan.
Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Labuan, Dr Fary Akmal Osman berkata lima lokaliti yang menerima bakul makanan tersebut ialah Kampung Patau-Patau 1 dan 2, Tanjung Aru, Bukit Kalam, Taman Mutiara dan Taman LDA di Kampung Sungai Bedaun yang telahpun mula dihantar pada Jumaat dan hari ini (Sabtu).
“Tiga lagi lokaliti PKPD Bersasar yang membabitkan Durian Tunjung, Kawasan Bandar dan Sungai Keling akan dihantar secepat mungkin sebaik saja menerima bakul makanan yang diterbangkan khas dari Kuala Lumpur tiba di sini pada petang ini.
Beliau berkata kesemua bakul makanan yang dilaksanakan secara berperingkat itu telah diserahkan kepada ketua kampung dan Majlis Perwakilan Penduduk (MPP) untuk urusan pengagihan kepada penduduk kampung masing masing.

AGIH…. Sukarelawan MPP mengaggihkan bakul makanan kepada penduduk kampung Patau-Patau hari ini.
“Kita memahami keadaan kawasan PKPD Bersasar yang dikawal ketat termasuk tidak boleh keluar mahupun masuk kedalam secara beramai ramai, jadi kita telah bekerjasama dengan Ketua Kampung dan juga Majlis Perwakilan Penduduk (MPP) yang disitu juga ada sukarelawan MPP untuk membantu Ketua Kampung mengagihkan bakul makanan kepada penduduk kampung” katanya ketika menyerahkan 1,400 bakul makanan kepada Ketua Kampung Tanjung Aru, Harun Damit di Balai Raya Kampung Tanjung Aru, hari ini.
Sementara itu katanya untuk fasa kedua pengagihan bakul makanan yang membabitkan lapan lokaliti itu dijankga akan dapat diserahkan pada awal minggu depan.
Secara keseluruhanya dianggarkan seramai 13,800 buah keluarga daripada lapan lokaliti PKPD Bersasar telah direkodkan oleh Perbadanan Labuan untuk menerima bakul makanan.