Datuk Seri Dr. Jeffrey menerima cenderhati disampaikan Datuk Raisin(kiri) selepas majlis perasmian
TAMBUNAN – Seramai 736 murid berkeperluan khas dari 24 daerah seluruh Sabah menyertai Kejohanan Olahraga Pendidikan Khas MSS Sabah Kali Ke-13 yang berlangsung di Kompleks Sukan Tambunan, sekali gus mencerminkan komitmen berterusan negeri terhadap prinsip inklusiviti dan kesaksamaan dalam pendidikan.
Kejohanan selama tiga hari itu turut melibatkan 444 pegawai pengiring dan jurulatih, dengan objektif memupuk semangat kesukanan serta mengasah potensi atlet istimewa dalam suasana penuh sokongan dan semangat kekitaan.
Majlis perasmian pada Ahad, disempurnakan Timbalan Ketua Menteri merangkap Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan Sabah, Datuk Seri Panglima Dr Jeffrey G. Kitingan.
Dalam ucapannya, beliau melahirkan rasa bangga terhadap kecekalan para peserta dalam mengharungi cabaran dan membuktikan kemampuan diri.
“Kejayaan mereka bukan sekadar diukur melalui pingat, tetapi semangat juang dan keberanian mengatasi kekangan peribadi,” katanya.
Menurut beliau, kerajaan negeri sentiasa memperuntukkan perbelanjaan khas dalam Belanjawan Negeri bagi memperkukuh program Pendidikan Khas, termasuk penambahbaikan fasiliti, latihan guru dan pembangunan sahsiah murid.
Turut hadir ialah Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Sabah, Datuk Haji Raisin Saidin; Pegawai Pendidikan Daerah Tambunan, Dr Haison Jahudin; Timbalan Pengarah JPN Sabah, Barisan; Ketua Penolong Pengarah Kanan Sektor Pendidikan Khas, Puan Hajah Bernadette John; serta Pegawai Daerah Tambunan, En. Sobitun Makajil.
Kejohanan turut disertai kontinjen dari Zon Pendengaran dan Zon Penglihatan, menjadikan penganjuran kali ini lebih menyeluruh dan inklusif.
Dr Jeffrey turut menyarankan agar kejohanan ini diperluaskan ke peringkat kebangsaan dan menerima sokongan lebih menyeluruh, termasuk daripada sektor swasta.
“Anak-anak istimewa bukan sahaja harapan, tetapi juga kebanggaan rakyat Sabah,” tambah beliau.



