Armizan menyerahkan replika Fleet Card Petronas kapada salah satu syarikat yang lulus di bawah SKDS.
LABUAN:Sehingga 18 Julai tahun ini Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) telah merekodkan sebanyak 28,337 syarikat melibatkan 68,669 kenderaan di tiga Wilayah Sabah, Sarawak dan Labuan telah pun mendaftar di bawah Skim Kawalan Diesil Bersubsidi (SKDS) selepas peluasan pelaksanaan mekanisme subsidi diesel bersasar di tiga wilayah berkenaan bermula 1 Julai lalu.
Demikian diberitahu oleh menterinya, Datuk Armizan Mohd Ali pada sidang media selepas majlis Penyerahan Fleet Card dan Program Jualan Rahmah peringkat Wilayah Persekutuan Labuan, di sini pada Ahad.
Beliau berkata, jumlah pendaftaran itu mencerminkan perkembangan positif pelaksanaan SKDS di Sabah, Sarawak dan Labuan terus memberangsangkan.
Beliau berkata, secara keseluruhan nya KPDN telah merekodkan sebanyak 172,955 syarikat membabitkan 464,797 kenderaan yang telah mendaftar SKDS di seluruh negara.
“Daripada jumlah tersebut sebanyak 18,770 syarikat melibatkan 51,679 kenderaan didaftarkan di bawah sektor pengangkutan darat barangan pengguna, diikuti 7,241 syarikat membabitkan 13,557 kenderaan bagi sektor pengangkutan darat milik syarikat yang merangkumi kenderaan pacuan empat roda dan pikap”, katanya.
Selain itu, sebanyak 2,116 syarikat melibatkan 3,433 kenderaan telah didaftarkan di bawah sektor pengangkutan awam darat.
Armizan berkata, penggunaan fleet card membolehkan setiap transaksi pembelian diesel bersubsidi direkodkan secara digital, sekali gus memperkukuh pemantauan, mengurangkan risiko ketirisan dan memastikan subsidi disalurkan kepada kumpulan yang benar-benar layak.
Menurut beliau lagi, proses semakan permohonan kini lebih mudah kerana telah diintegrasikan dengan sistem MySIKAP Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), sekali gus membolehkan pengesahan maklumat dibuat secara automatik tanpa memerlukan pemohon mendapatkan pengesahan secara berasingan daripada JPJ.
Armizan turut menggesa syarikat yang layak tetapi masih belum berdaftar supaya mengemukakan permohonan melalui portal MySubsidi. Syarikat yang telah menerima kelulusan pula disaran segera memohon fleet card daripada syarikat minyak yang mengambil bahagian.
Pada majlis itu sebanyak 13 syarikat menerima Fleet Card yang dikeluarkan oleh tiga syarikat minyak, iaitu Petronas, Shell dan Petron, selepas permohonan mereka diluluskan di bawah Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS).
Hadir sama Ketua Setiausaha KPDN, Dato’ Seri Mohd. Sayuthi Bakar, Ahli Parlimen Labuan, Datuk Indera Dr Suhaili Abdul Rahman, Timbalan Pengerusi Perbadanan Labuan, Simsudin Sidek dan Pengarah KPDN Labuan, Junaidah Arbain.



