SOPHIAN Said bersama Datuk Hassan Sani
LABUAN: Sejumlah 68 pasukan telahpun mengesahkan penyertaan dalam Kejohanan Bola Sepak Veteran, Piala Datuk Hassan Sani anjuran Persatuan Bola Sepak Labuan (LAFA) yang dijadual akan diadakan pada 10-12 November depan.
Menurut Presiden LAFA, Sophian Said, kejohanan yang julung kalinya diadakan itu turut mendapat kerjasama daripada Perbadanan Labuan, LDA Holding dan Kementerian Belia dan Sukan (KBS).
“Kejohanan yang akan berlangsung selama tiga hari itu akan membabitkan penyertaan daripada Sabah, Sarawak, Brunei Darussalam dan Labuan.
“Penganjur telah menetapkan syarat setiap pemain yang didaftarkan mengikut umur yang diwajibkan iaitu umur 40-44 tahun (2 pemain), 45-49 tahun (4 pemain) dan 50-54 tahun (4 pemain) dan seorang pemain yang berumur 55 tahun keatas” katanya ketika ditemui di sini, hari ini.
Jelasnya lagi, pasukan yang bergelar juara bakal membawa pulang hadiah berupa sebuah piala iringan, sebuah piala rebutan dan wang tunai RM15,000.00. dan medal, naib juara bakal menerima hadiah wang tunai RM10,000.00, sebuah piala, medal serta tempat ketiga menerima RM5,000.00, sebuah piala dan medal. Tempat keempat turut menerima hadiah wang tunai bernilai RM3,000.00, sebuah piala dan medal.
“Kejohanan Bola Sepak Veteran Piala Datuk Hassan Sani yang buat pertama kalinya diadakan akan dijadikan acara tahunan apabila ia telahpun dipersetujui untuk dimasukkan kedalam kaledar pelancongan Perbadanan Labuan” katanya.
Katanya, sebanyak lima buah venue pertandingan akan digunakan sepanjang perlawanan itu nanti membabitkan padang Sintetik Kompleks Sukan Labuan, padang KML, padang UMSKAL, Padang Sekolah Antarabangsa Labuan (LIS) dan padang Dataran Labuan.
“Pertandingan akhir kejohanan akan diadakan di padang Dataran Labuan bermula pada jam 8 malam pada 12 November depan” katanya.