27 C
Kota Kinabalu
Isnin, Julai 15, 2024
ADVERTISEMENTspot_img

638 kes bunuh diri dilaporkan sehingga Julai

Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah – gambar fail

SHAH ALAM – Polis Diraja Malaysia (PDRM) melaporkan sebanyak 638 kes bunuh diri yang berlaku sepanjang tahun ini sehingga Julai lalu.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, jumlah itu menunjukkan peningkatan sebanyak 143 peratus atau 1.4 kali lebih banyak berbanding tempoh yang sama pada tahun lalu iaitu 262 kes.9

Menurutnya, antara faktor sosial yang menyebabkan tekanan melampau ialah hilang pekerjaan atau sumber pendapatan, dan isolasi sokongan keluarga dan sahabat.

“Tambahan lagi, situasi pandemik Covid-19 di seluruh dunia memberi impak yang amat besar kepada kesihatan mental setiap individu.

“Tingkah laku bunuh diri meliputi idea bunuh diri, rancangan bunuh diri, cubaan bunuh diri dan kematian akibat tindakan bunuh diri,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Menurutnya, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengambil maklum bahawa bunuh diri antara 10 penyebab utama kematian di dunia dan penyebab keempat kematian bagi mereka yang berumur daripada 15 hingga 29 tahun.

“Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) melaporkan di seluruh dunia terdapat lebih 703,000 kes kematian membunuh diri setiap tahun dengan purata satu kejadian bunuh diri setiap 40 saat,” katanya.

Justeru, menurut Dr Noor Hisham, Hari Pencegahan Bunuh Diri Sedunia bertemakan ‘Bertindak Segera, Harapan Terbina’ bertujuan meningkatkan keyakinan masyarakat mencegah insiden bunuh diri.


Katanya, selaras dengan konsep Keluarga Malaysia, peranan masyarakat mengenal pasti simptom awal kemurungan dan tingkah laku bunuh diri dalam kalangan individu yang disayangi terutamanya dalam situasi pandemik Covid-19.

Tambah beliau, KKM mempunyai beberapa inisiatif bagi menangani isu tingkah laku bunuh diri antaranya pengukuhan pelaksanaan perkhidmatan sokongan kesihatan mental dan psikososial.

“Ia dijalankan menerusi Pengukuhan Talian Bantuan Sokongan Psikososial yang diwujudkan oleh KKM dengan kerjasama NGO (badan bukan kerajaan) bagi meningkatkan akses terhadap liputan perkhidmatan kesihatan mental dan sokongan psikososial bagi membantu individu yang memerlukan sokongan.

“Terdapat pertambahan pegawai psikologi kaunseling di peringkat daerah dan klinik kesihatan bagi mengukuhkan perkhidmatan kesihatan mental, pencegahan keganasan dan kecederaan, serta penyalahgunaan substans,” ujarnya.

Selain itu, katanya, KKM menyokong usaha Dekriminalisasi Cubaan Bunuh Diri iaitu bagi pindaan atau pemansuhan Seksyen 309 di bawah Kanun Keseksaan yang menyabitkan cubaan bunuh diri sebagai satu kesalahan jenayah.

“Pelaksanaan dekriminalisasi cubaan bunuh diri akan menjadi anjakan dalam usaha pencegahan bunuh diri di Malaysia. Ini akan menggalakkan mereka yang terkesan untuk tampil dan mendapatkan bantuan seawal mungkin,” katanya.

KKM juga menjalankan advokasi kempen Let’s TALK Minda Sihat kepada kumpulan sasar dan masyarakat secara menyeluruh merentas agensi serta secara bersepadu termasuk melibatkan media massa, media sosial dan pihak berkepentingan.

Tambah beliau, latihan secara berterusan juga dilaksanakan kepada anggota kesihatan, polis dan bomba bagi meningkatkan kemahiran pengendalian tingkah laku bunuh diri.

“KKM mempergiatkan sesi libat urus dengan pelbagai kementerian, agensi kerajaan dan bukan kerajaan bagi memastikan tiada golongan yang tercicir dalam usaha menangani isu tingkah laku bunuh diri,” ujarnya.

Menurut Dr Noor Hisham, masyarakat boleh memainkan peranan mencegah tingkah laku bunuh diri dengan cara mengambil tahu dan memberi sokongan kepada mereka untuk mendapatkan bantuan dan rawatan.

“Elak menularkan sebarang berita, video atau gambar berkaitan kejadian bunuh diri di media sosial selain membuang stigma negatif terhadap keluarga serta individu dengan penyakit mental dan tidak menghakimi kejadian bunuh diri yang berlaku,” katanya. –Sinar Harian

https://www.sinarharian.com.my/article/160623/BERITA/Nasional/638-kes-bunuh-diri-dilaporkan-sehingg

ADVERTISEMENTspot_img
BERITA BERKAITAN