54 atlet dan 17 jurulatih sukan terima elaun babitkan peruntukan RM70,000.

Oleh: Jainudin Djimin

BANTUAN…..Presiden Persatuan Bola Sepak Labuan, Sophian Said (kiri) menerima bantuan kewangan sukan daripada Dr Fary


LABUAN: Seramai 54 atlet dan 17 jurulatih yang bernaung di bawah Majlis Sukan Wilayah Persekutuan (MSWP) menerima bayaran elaun latihan bagi bulan Oktober hingga Disember membabitkan peruntukan RM70,000 yang disalurkan kepada Majlis Sukan Labuan (MSL),


Majlis penyerahan bayaran elaun berkenaan telah disempurnakan oleh Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Labuan, Dr. Fary Akmal Osman di Wisma Perbadanan Labuan, pada petang Isnin.


Terdahulu ketika berucap pada majlis itu, Dr Fary yang juga Pengerusi Majlis Sukan Labuan, berkata selain daripada bayaran elaun kepada atlet dan jurulatih, MSWP juga telah menyalurkan bantuan kewangan berjumlah RM40,000 kepada 20 persatuan sukan bertujuan untuk mengurangkan beban kewangan yang ditanggung susulan pandemik COVID 19.

SIMBOLIK…. Dr Fary menyerahkan mock chek Bantuan Kewangan COVID 19 kepada persatuan-persatuan sukan Labuan


“Peruntukan ini disalurkan kepada 20 Persatuan Sukan Labuan di bawah MSWP dengan kadar bantuan kewangan sebanyak RM2,000 bagi setiap persatuan sukan yang bertujuan bagi mengurangkan beban kewangan setiap persatuan susulan pandemic COVID 19” katanya.

Sementara itu katanya, MSL juga telah menyalurkan bantuan program pembangunan sukan sebanyak RM26,000 kepada perastuan -persatuan sukan untuk mempergiatkan pembangunan sukan di peringkat akar umbi.


“Diharap persatuan-persatuan sukan di pulau ini dapat memanfaatkan sepenuhnya semua bantuan nerkenaan dan seterusnya memberikan nafas baharu kepada pembangunan sukan pasca Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB)” katanya.