Professor Madya Dr. Geoffrey Harvey Tanakinjal (tengah) bersama guru dan pelajar Sekolah Menengah St Anne yang mengadakan lawatan ke Universiti Malaysia Sabah Kampus Antarabangsa Labuan, baru baru ini.
LABUAN:Seramai 53 pelajar Tingkatan Lima Sekolah Menengah St Anne telah mengadakan lawatan ke Universiti Malaysia Sabah Kampus Antarabangsa Labuan (UMSKAL), baru baru ini.
Mereka merupakan pelajar yang mengambil aliran Prinsip Perakaunan, Ekonomi dan Perniagaan.
Guru Bimbingan Dan Kaunseling, Norhayati Yusoff berkata tujuan utama lawatan itu adalah untuk membuka minda pelajar tentang bidang kerjaya yang ada di Institut Pengajian Tinggi Awam (IPTA), memberi motivasi kepada murid untuk membina hala tuju masa hadapan.
Pada masa sama, Norhayati berkata lawatan itu juga bertujuan untuk melahirkan pelajar yang berdaya saing dan berusaha belajar bersungguh-sungguh demi mencapai cita-cita mereka.
“Semoga menerusi lawatan ini sedikit sebanyak akan dapat memberi manfaat kepada pelajar SM St Anne Labuan,”katanya yang mewakili Pengetua, Mary Anita Abah.
Dua lagi guru pengiring yang menyertai lawatan itu ialah Wan Roslendawaty Wan Ja’afar dan Mohd Hasif Yusof.
Ketibaan guru dan pelajar disambut mesra Dekan Fakulti Kewangan Antarabangsa Labuan (FKAL), Professor Madya Dr. Geoffrey Harvey Tanakinjal dan Timbalan Dekan (Akademik dan Antarabangsa) FKAL, Dr Ricky Chia Chee Jiun.
Dalam ucapan alu-aluannya, Dr. Geoffrey berharap calon SPM itu akan menggunakan sepenuh ruang dan peluang yang ada untuk mendapatkan keputusan cemerlang agar hasrat mereka untuk melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi akan tercapai.
“Banyak kelebihan ditawarkan di UMS khususnya di FKAL yang akhirnya akan melahirkan insan yang berdaya saing di bidang kerjaya pada masa hadapan,”katanya.
Sementara itu, Dr Ricky berkata universiti merupakan tempat untuk pelajar mendapatkan pelbagai ilmu untuk menjadi pemimpin pada masa hadapan.
“FKAL telah melahirkan ramai alumni yang berjaya dalam pelbagai bidang termasuk di institusi kewangan, perniagaan selain bekerja di sektor awam dan swasta,”katanya,
Bagaimanapun Dr Ricky mengingatkan pelajar supaya sentiasa berfikiran positif iaitu mendapatkan keputusan paling cemerlang kerana mereka terpaksa bersaing sesama sendiri selain tempat untuk memasuki IPTA juga agak terhad.
Pelajar SM St Anne turut melihat kemudahan yang disediakan di Perpustakaan UMSKAL.