Simbolik penyerahan Program Air Bersih Etiqa di Kg Singgaron Baru Ranau pada hari Sabtu
RANAU: Penantian lebih 500 penduduk tempatan di Kg Singgaron Baru untuk mendapatkan bekalan air bersih berakhir apabila Projek Bekalan Air Bersih Etiqa telah siap dilaksanakan sepenuhnya dan dilancarkan pad ahari Sabtu.
Projek komuniti di bawah “Program Tanggungjawab Sosial Korporat Etiqa” ini adalah bertujuan untuk membantu meringankan beban penduduk setempat dalam mendapatkan bekalan air bersih secara berterusan sepanjang tahun.
Projek yang memberikan suatu erti yang begitu istimewa di kalangan penduduk di sini itu mendapat pembiayaan oleh Etiqa dan dilaksanakan dengan kerjasama Islamic Aid Malaysia (IAM).
Sejak lebih 30 tahun lalu, penduduk kampung ini telah bergantung kepada sumber air bukit dari sungai kecil di hutan simpan berhampiran.
Mereka telah menggunakan sistem air graviti untuk menyalurkan air ke rumah bagi kegunaan harian dan pertanian.
Namun, masalah utama yang dihadapi mereka adalah kekurangan air kerana pertambahan rumah dan bilangan penduduk.
Selain itu, paip lama dari Polivinil Klorida (PVC) dan Polipropilena (PP)sering bocor, menambah masalah kekurangan air,terutama ketika musim kemarau apabila tekanan air terlalu rendah.
Oleh itu, sumber dan sistem air sedia ada itu hanya cukup untuk membekalkan air kepada sebahagian penduduk sahaja, menyebabkan banyak penduduk yang lain tidak mendapat bekalan air yang mencukupi pada waktu puncak.
Untuk meningkatkan kualiti hidup penduduk kampung ini, Etiqa telah membiaya kos untuk menaiktaraf tandak sedia ada untuk menakung air dari sungai berdekatan.
Selain itu, Etiqa telah membiaya kos menambahbaik sistem sambungan paip sepanjang 6 kilometer daripada tandak air ke rumah penduduk untuk kualiti air yang lebih berkualiti, dan membina rumah pam yang dilengkapi dengan dua tangki simpanan dengan jumlah kapasiti 2000 gelen yang dilengkapi Membrane Water Filter System.
Penambahbaikan ini adalah bertujuan untuk memastikan air yang disalurkan ke rumah penduduk, terawat, benar-benar bersih dan tidak tercemar.
Selain rumah penduduk, air terawat ini juga dapat digunakan untuk kegunaan Dewan Komuniti, Balai Raya, Tabika Kemas, Perpustakaan awam, Rumah Ibadat dan juga untuk aktiviti pertanian.
Kaedah yang dibangunkan melalui projek ini sebenarnya menjimatkan kos kerana tidak menggunakan tenaga elektrik untuk mengepam air ke tangki simpanan.

Majid, Zafri, Zawahir serta Aldo bergambar di hadapan rumah pam yang dilengkapi dengan dua tangki simpanan dengan jumlah kapasiti 2000 gelen yang dilengkapi Membrane Water Filter System di Kg Singgaron Baru Ranau
Perlaksanaan projek ini turut dijayakan bersama hasil penyertaan yang bersungguh-sungguh oleh penduduk kampung dan sukarelawan IAM yang sama-sama bergotong royong.
Majlis perasmian projek tersebut telah disempurnakan oleh Pengerusi Etiqa Family Takaful Berhad dan Etiqa General Takaful Berhad, Dato’ Majid Mohamad, serta disaksikan oleh Ketua Pegawai Eksekutif Etiqa Family Takaful Berhad, Zafri Ab. Halim, Presiden Islamic Aid Malaysia, Zawahir Abdullah, serta Pengarah Wilayah Sabah, Etiqa Insurans dan Takaful, Aldo Kok.
Zafri dalam ucapannya berkata,”Kami sangat berbesar hati kerana dapat merealisasikan usaha murni ini dengan kerjasama IAM.
“Melalui projek ini, penduduk kampung bukan sahaja dapat menikmati bekalan air yang terawat, malahan juga memudahkan kelangsungan aktiviti harian mereka dengan bekalan air yang berterusan.
“Mudah-mudahan, penduduk kampung dapat memanfaatkan kemudahan yang disediakan dengan baik dan terpelihara,” katanya.
Menurut Zawahir pula,”Sebagai sebuah badan NGO, IAM memainkan peranan sebagai pengantara di antara individu mahu pun golongan korporat yang berhajat untuk melaksanakan usaha-usaha kemanusiaan dalam membantu golongan yang memerlukan.
“Kami berbesar hati kerana berpeluang bekerjasama dengan Etiqa untuk melaksanakan satu projek yang amat bermakna dan berguna kepada penduduk di sini.
“Projek ini merupakan satu lagi bukti keprihatinan Etiqa untuk meningkatkan taraf hidup masyarakat luar bandar. Melalui program ini turut diadakan kempen berkaitan air bersih untuk komuniti setempat.
Mengulas lanjut, IAM berharap menerusi program ini masyarakat lebih cakna mengenai kebersihan penggunaan air dan ia ingin melihat masyarakat lebih proaktif mengenai kebersihan dan penjimatan air.
“Saya yakin usaha yang dilakukan oleh pihak Etiqa amat memberi kesan positif dan bermakna buat penduduk kampung ini apatah lagi mereka bakal menikmati sumber air yang bersih.
“Projek Air Bersih Etiqa untuk komuniti ini telah bermula sejak bulan Julai yang lalu dan telah dapat disiapkan sepenuhnya pada hari ini.
“Saya amat berbangga kerana penduduk disini amat bersatu hati bergotong-royong walaupun mempunyai pegangan agama yang berbeza dan mempunyai semangat kerjasama bagi menjayakan projek ini dan menyiapkannya mengikut tempoh masa yang telah di tetapkan,” tambahnya lagi.
Sejak tahun 2017, Projek Air Bersih Etiqa telah membantu lebih 19,000 individu daripada 20 lokasi untuk mendapatkan bekalan air bersih,selari dengan visi Etiqa untuk menjadikan dunia ini sebuah tempat yang lebih baik, atau Making The World a Better Place.