APC…..Salah seorang penerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang, menerima Sijil APC disampaikan Datuk James (kiri)
KOTA KINABALU: Seramai 490 kakitangan Hospital Kluster Zon Kota Kinabalu menerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) untuk tahun 2022 dan Penghargaan Pesara 2023 dalam majlis sambutan yang diadakan di sini pada hari Selasa.
Menteri Pembangunan Masyarakat Dan Kesejahteraan Rakyat (KPMKR), Datuk James Ratib yang hadir dan menyampaikan anugerah tersebut berkata, anugerah tersebut mencetus inspirasi kepada semua warga kerja untuk berkhidmat dengan lebih cemerlang lagi.
“Saya ingin mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada 490 orang penerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) pada tahun 2022 yang diraikan pada hari ini. Semoga dengan pengiktirafan ini, ia akan menyuntik semangat seluruh warga kerja jabatan ini.
“Ucapan tahniah dan penghargaan juga kepada 60 orang pegawai dan kakitangan yang telah dan akan bersara pada tahun ini. Perjalanan perkhidmatan hingga ke saat persaraan anda merupakan satu pengalaman yang pastinya akan dikenang selama-lamanya.
“Semoga anda menggunakan tempoh persaraan dengan sesuatu yang bukan sahaja memberi kepuasan kepada diri dan keluarga, tetapi juga memanfaatkan masyarakat dan Negara,” kata beliau.
Sementara itu, James yang juga Adun Sugut berkata, tanggungjawab dalam perkhidmatan awam mempunyai cabaran yang besar, justeru kecekapan dalam melaksanakan tugas menjadi amanah yang perlu dipikul sepanjang perkhidmatan.
Ini, katanya, termasuklah mengutamakan aspek integriti yang tinggi semasa menjalankan tugas kerana runtuhnya nilai integriti akan menyebabkan berlakunya pelbagai kepincangan seperti berlakunya penyelewengan untuk kepentingan peribadi, rasuah dan sebagainya.
“Prestasi sentiasa diiktiraf. Oleh itu, kita perlu sentiasa peka, berfikiran terbuka dan bersedia dengan sebarang perubahan persekitaran. Dalam erti kata lain, kita tidak boleh kekal selesa dan rasa puas dengan sesuatu pencapaian.
“Selain itu, ekspektasi masyarakat terhadap perkhidmatan kesihatan juga semakin hari semakin tinggi dan perkara ini sudah pasti memerlukan kakitangan melaksanakan pembaharuan yang berterusan supaya sentiasa responsif dalam memenuhi keperluan kesihatan masyarakat.
“Justeru, seiring dengan misi dan visi Kementerian Kesihatan Malaysia dan Jabatan Kesihatan Negeri Sabah, anda harus memberikan penekanan kepada aspek “character building” dengan cara menambahkan ilmu pengetahuan, meningkatkan kemahiran dan juga mengamalkan nilai-nilai murni serta ciri-ciri peribadi yang positif,” ujar James.
Beliau berkata demikian semasa merasmikan Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang 2022 Dan Penghargaan Pesara 2023 Hospital Kluster Zon Kota Kinabalu yang diadakan di Grand Ballroom Hotel Hilton Kota Kinabalu, Selasa.
Menurut beliau, majlis itu amat bermakna khususnya dalam memberikan pengiktirafan kepada pegawai perkhidmatan awam yang telah menunjukkan prestasi cemerlang serta penghargaan kepada pesara yang selama ini telah berkhidmat dengan penuh komited dan dedikasi dalam perkhidmatan kesihatan khususnya untuk negeri Sabah.
“Syabas juga kepada pihak Jawatankuasa atas komitmen dalam menjayakan majlis pada hari ini. Saya mengambil maklum bahawa majlis pada hari ini dilaksanakan secara kluster dan melibatkan lapan (8) buah Pusat Tanggungjawab (PTj) atau hospital Zon Kota Kinabalu,” kata beliau.
Dalam pada itu, James memberitahu bahawa inisiatif Hospital Kluster telah diperkenalkan sebagai satu langkah bagi meningkatkan efisiensi perkhidmatan di hospital-hospital Kementerian Kesihatan Malaysia.
Pelaksanaan inisiatif ini, katanya, adalah dengan kolaborasi dua (2) atau lebih hospital-hospital berpakar dan hospital-hospital tanpa pakar di lokasi geografi yang sama bagi membentuk satu kluster.
Perkhidmatan hospital kluster dilaksanakan melalui perkongsian dan mengoptimumkan penggunaan sumber-sumber dalam hospital yang terlibat.
“Jika dilihat melalui garis masa, Hospital Kluster Zon Kota Kinabalu telah bermula sejak tahun 2018 dengan kolaborasi antara Hospital Queen Elizabeth (HQE) selaku lead hospital (LH) bersama tujuh (7) buah non-lead hospital (NLH) iaitu Hospital Queen Elizabeth II (HQEII), Hospital Wanita dan Kanak-Kanak Sabah (HWKKS), Hospital Mesra Bukit Padang (HMBP), Hospital Papar, Hospital Ranau, Hospital Kota Belud dan Hospital Tuaran.
“Misi utama pembentukan kluster ini adalah untuk mengurangkan Bed Occupancy Rate (BOR) atau kadar penghuni katil di lead hospital dan meningkatkan BOR di non-lead hospital,” katanya.
Menurut James lagi, kolaborasi tersebut juga bertujuan meningkatkan tahap kompetensi antara doktor dan paramedik yang bertugas di non-lead hospital, di samping berkongsi sumber dan fasiliti perubatan antara hospital kluster.
“Diharapkan dengan pelaksanaan hospital kluster ini dapat meningkatkan lagi kualiti dan keberkesanan penyampaian perkhidmatan kesihatan di negeri Sabah khususnya di kawasan luar Bandar,” jelas beliau.
Turut hadir, Doktor Asits Bin Sanna, Pengarah Kesihatan Negeri Sabah; Doktor William Gotulis, Pengarah Hospital Queen Elizabeth merangkap Ketua Pegawai Eksekutif, Jawatankuasa Hospital Kluster Zon Kota Kinabalu dan lain-lain.