PETUGAS…Ag Rozlan (tengah) bersama barisan guru SMKTPB yang bertugas sebagai AJK Kempen Derma Darah 2021.
LABUAN: Sebanyak 44 pain darah Berjaya dikutip pada Program Derma Darah Sempena Sambutan Hari Guru 2021 peringkat Wilayah Persekutuan Labuan.
Program anjuran Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan dengan kerjasama Hospital Labuan dan dikelolakan sepenuhnya oleh SMK Taman Perumagan Bedaun (SMKTPB) telah diadakan baru-baru ini.
Pengetua SMKTPB, Ag Rozlan Manan berkata program yang berlangsung pada Sabtu lalu merupakan inisiatif untuk membantu menambahkan tabung darah di Hospital Labuan demi rawatan pesakit dan juga kes-kes kecemasan.
Katanya, kempen derma darah ini juga bertujuan untuk memberi peluang kepada semua guru dan orang awam untuk menunaikan tanggungjawab kemasyarakatan.
SIJIL…..Ag Rozlan (tiga kanan) menyampaikan sijil penghargaan kepada pihak Hospital Labuan atas jalinan mengadakan program tersebut.
Jelas Ag Rozlan, antara objektif program ini adalah untuk meningkatkan kesedaran kepada semua guru dan orang awam tentang kepentingan menderma darah yang dapat menyelamatkan nyawa.
“Kempen Derma Darah ini juga bertujuan untuk menangani masalah kekurangan darah dalam tabung darah di Hospital Labuan, di samping dapat memupuk sifat penyayang dan sedia membantu dalam kalangan warga pendidik dan orang awam tanpa mengira bangsa dan agama ke arah mewujudkan integrasi masyarakat,”katanya.
Ag Rozlan Manan yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengelola Sambutan Hari Guru 2021, merakamkan ucapan terima kasih kepada semua pihak yang telah bersama-sama menjayakan program khidmat masyarakat melalui kempen derma darah.
“Jutaan terima kasih diucapkan kepada pihak Hospital Labuan kerana bersama-sama merealisasikan program kemasyarakatan ini,”katanya.
Turut hadir bersama dalam program ini ialah Penolong Kanan Pentadbiran, Chai Yee San selaku Setiausaha Jawatankuasa Pengelola Sambutan Hari Guru dan Penolong Kanan Kokurikulum, Lau Chin Ying.
Hadir sama guru-guru kanan bidang dan AJK yang terdiri daripada guru-guru SMKTPB.
Sjil penghargaan dan hamper telah diberikan kepada penderma darah yang mendaftar terlebih dahulu sebagai penderma darah.
Antara agensi yang turut memberikan sumbangan dalam menjayakan program ini ialah Asian Supply Base Sdn Bhd, BRB Terus Maju Sdn Bhd, D’ One Mart Labuan, Seri Pentas Enterprise, Tira Biru Sdn Bhd dan Felix Heng Yong Yuen.
Walaupun dalam situasi negara menghadapi pandemik COVID-19, program derma darah ini merupakan landasan terbaik untuk memberikan kesedaran kepada masyarakat khususnya dalam kalangan guru-guru di Wilayah Persekutuan Labuan untuk menderma darah ekoran stok bekalan darah yang semakin susut bekalannya.
Malahan, program ini juga dapat membuka mata warga guru bahawa betapa pentingnya 1 paket darah dapat menyelamatkan nyawa seseorang.
Antara yang menderma darah termasuk Guru Besar Sekolah Kebangsaan Patau-Patau, Sazalee Haji Dinin, Guru Besar SK Bebuloh, Abd Rahman Salim, pensyarah Kolej Matrikulasi Labuan dan guru-guru sekolah rendah dan menengah di Wilayah Persekutuan Labuan.