25 C
Kota Kinabalu
Khamis, Januari 23, 2025
ADVERTISEMENTspot_img

43 Syarikat PKS Bergraduan Di Bawah Business Export Program SME Bank

Ewon (kanan)

KUALA LUMPUR: Sebanyak 43 syarikat perusahaan kecil dan sederhana (PKS) bergraduan selepas menamatkan Business Export Program (BEP) yang dilaksanakan oleh SME Bank.

Syarikat yang bergraduan tersebut merupakan sebahagian daripada 83 syarikat yang menyertai Program BEP yang telah mencatatkan hasil eksport lebih RM192 juta ke negara luar seperti Asia Tenggara, Amerika Syarikat, United Arab Emirates dan United Kingdom.

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Ewon Benedick berkata, kejayaan itu dicapai atas sokongan berterusan kerajaan melalui pembiayaan, latihan dan peluang rangkaian antarabangsa.

Beliau berkata, inisiatif BEP SME Bank membantu meningkatkan peluang usahawan dan syarikat tempatan menembusi pasaran antarabangsa.

“Kementerian menyokong penuh inisiatif BEP, kerana program ini bukan sahaja memberi peluang kepada syarikat untuk berkembang tetapi juga membantu melahirkan lebih ramai pengeksport bumiputera yang kompetitif di peringkat antarabangsa.

“Pada hari ini sebanyak 43 buah syarikat menamatkan Program BEP. Saya berharap pencapaian dan kejayaan semua usahawan atau syarikat ini akan terus menjadi motivasi dan inspirasi kepada usahawan lain untuk membangunkan produk serta perkhidmatan sehingga menembusi pasaran antarabangsa,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Graduasi Business Export Program (BEP) 2024, di Pullman Hotel, di sini, hari ini.

Turut hadir Mantan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Tan Sri Rafidah Aziz, Pengerusi SME Bank Dato’ Muslim Hussain dan Pemangku Presiden Kumpulan/Ketua Pegawai Eksekutif SME Bank Datuk Dr. Mohammad Hardee Ibrahim.

Ewon berkata, perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) adalah tulang belakang ekonomi negara.

“Pada tahun 2023, PMKS menyumbang sebanyak RM613.1 bilion atau 39.1 peratus kepada keluaran dalam negara kasar (KDNK) negara. Sumbangan ini menjadi bukti PMKS adalah elemen penting dalam pembangunan ekonomi kita.

“Menyedari perkara ini, Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) sentiasa berusaha memperkukuhkan sektor PMKS, selaras dengan Dasar Keusahawanan Nasional 2030 (DKN 2030).

“Salah satu teras utama DKN 2030 adalah Teraju Strategik Ke-6 iaitu Pengantarabangsaan Usahawan Tempatan, dan program BEP merupakan bukti kukuh komitmen ini.

“Kerajaan terus memperkasakan usahawan tempatan melalui BEP yang bertujuan mempertingkatkan keupayaan eksport syarikat-syarikat tempatan menembusi pasaran antarabangsa,” katanya.

Ewon berkata, sejajar dengan aspirasi Dasar Keusahawanan Nasional (DKN) 2030, Kementerian melaksanakan pelbagai pelan strategik untuk memperkukuhkan ekosistem keusahawanan negara.

“Dalam mendukung inisiatif ini, Geran Pembangunan Pasaran (MDG) dengan kerjasama Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) turut memainkan peranan penting dengan menyediakan sokongan kepada usahawan, termasuk penyertaan dalam aktiviti pameran dan persidangan antarabangsa.

“MDG juga menyokong inisiatif BEP dalam memangkin usahawan PMKS mengembangkan perniagaan mereka di dalam pasaran eksport, di samping memperkukuh jenama Malaysia di peringkat global,” katanya.

Dilancarkan pada tahun 2020, BEP adalah program intervensi berstruktur yang digerakkan oleh KUSKOP dan
SME Bank sebagai agensi pelaksana, dengan kerjasama MATRADE.

Program ini bertujuan membantu
Perusahaan Kecil dan Sederhana (“PKS”) berprestasi tinggi untuk menembusi atau
mengukuhkan kedudukan mereka di pasaran eksport.

PKS yang menyertai program ini
terlibat dalam proses saringan ketat, latihan, dan penilaian prestasi berdasarkan ciri-ciri sejajar dengan objektif program.

ADVERTISEMENTspot_img
BERITA BERKAITAN