Johairie (duduk, keempat dari kiri) dan Juin (duduk, keenam dari kanan) bergambar bersama para peserta Kursus Asas Pengadil (KAP) bola sepak anjuran Safa Ranau.
RANAU: Seramai 42 peserta dari pelbagai daerah di Sabah dan Labuan menyertai Kursus Asas Pengadil (KAP) bola sepak anjuran Persatuan Bola Sepak Daerah Ranau (Safa Ranau) dalam usaha memperkasa pembangunan bakat pengadilan di peringkat akar umbi.
Kursus selama dua hari pada 3 dan 4 Oktober lalu, berlangsung di Dewan Serbaguna Jabatan Pertanian Daerah Ranau, dengan penyertaan peserta dari Ranau, Telupid, Tawau, Pitas, Kota Marudu, Kota Belud, Tambunan, Keningau, Penampang, Kota Kinabalu, Membakut dan Labuan.
Menariknya, penyertaan turut membabitkan empat wanita serta tujuh murid sekolah berusia bawah 18 tahun, sekali gus mencerminkan minat generasi muda dan golongan wanita untuk menceburi bidang pengadilan bola sepak.
Kursus berkenaan dikendalikan Pegawai Pembangunan Pengadil Negeri Sabah merangkap Penilai Pengadil (RA) Kebangsaan, Juin Joseph dan bekas pengadil FIFA, bekas Pegawai Pembangunan Pengadil (PPP) Negeri Sabah serta RA Kebangsaan, Salim Limbai atau lebih dikenali sebagai Zack Constantine.
Majlis perasmian penangguhan kursus disampaikan Pengerusi Pembangunan Pengadil Daerah Ranau, Johairie @ Linggin Lapat, yang mewakili Setiausaha Kehormat Safa Ranau, Hisyamudin Harun.

Dari kiri……Johairie dan Juin Joseph
Johairie berkata penganjuran kursus itu penting dalam menyediakan lebih ramai pengadil yang berpengetahuan, berdisiplin dan memahami undang-undang permainan, sekali gus membantu meningkatkan kualiti pengadilan bola sepak di Sabah.
“Bidang pengadilan bukan sekadar mengadili perlawanan, tetapi memerlukan disiplin, ketegasan, integriti dan pemahaman yang mendalam mengenai undang-undang permainan.
“Kami berharap para peserta menggunakan ilmu dan pengalaman yang diperoleh sepanjang kursus ini sebagai langkah pertama untuk membina laluan dalam bidang pengadilan,” katanya.
Beliau berkata Safa Ranau berharap peserta tidak berhenti setakat memperoleh kelayakan di peringkat negeri, sebaliknya terus berusaha meningkatkan tahap keupayaan masing-masing sehingga mampu melangkah ke peringkat kebangsaan.
“Malah, tidak mustahil suatu hari nanti ada dalam kalangan peserta kursus ini yang mampu melangkah lebih jauh dan menjadi pengadil antarabangsa FIFA,” katanya.
Beliau turut berharap penglibatan tujuh murid sekolah dan empat peserta wanita dapat menjadi pencetus kepada lebih ramai golongan muda serta wanita untuk menceburi bidang pengadilan dan menjadikannya sebahagian daripada pembangunan bola sepak di Sabah.



