Para peserta dan barisan penganjur menunjukkan tanda ‘say no to drugs’ dalam program tersebut
RANAU: Seramai 38 orang murid sekolah rendah dari tiga buah sekolah di sini telah mengikuti Program Intelek Asuhan Rohani (KEM PINTAR 2.0) yang diadakan di SJK (C) Pai Wen Ranau baru-baru ini.
Kem anjuran Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Daerah Ranau dengan Kerjasama Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Ranau itu berlangsung pada 11 hingga 13 Julai 2025.
Tiga buah sekolah yang terlibat ialah SJK (C) Pai Wen Ranau, SK Pekan Ranau dan SK St Benedict.
Antara pengisian program 3 hari 2 malam ini adalah taklimat daripada pihak AADK, Ceramah Interaktif, latihan dalam kumpulan, dan aktiviti eksplorasi.
KEM PINTAR 2.0 ini bertujuan untuk memberi pengetahuan kepada para pelajar sekolah tentang bahaya penyalahgunaan dadah di samping pemantapan jati diri murid-murid yang terlibat dalam program ini.
Majlis perasmian penutupan KEM PINTAR 2.0 telah disempurnakan oleh Pegawai Pendidikan Daerah Ranau, Barizah Binti Mohd Kahar.
Dalam ucapannya, beliau berharap semoga program yang dijalankan ini dapat memberi manfaat dan sebagai langkah awal dalam usaha pencegahan penyalahgunaan dadah di kalangan pelajar serta mewujudkan persekitaran sekolah yang sihat dan selamat.
Turut hadir di majlis itu, Penyelaras Ppda Pendidikan Daerah Ranau Sanusi Bin Ganir, Ketua Pegawai AADK Daerah Ranau, Hazrie Bin Atin, Guru Besar SJK (C) Pai Wen, Tsen Ting Feng, Penolong Kanan HEM SJK (C) Pai Wen, Poong Chiew Fong, YDP SJK(C) Pai Wen, Roland Felix Goh, Pegawai-Pegawai AADK Daerah Ranau dan Guru-guru pengiring dari ketiga tiga sekolah yang terlibat.



