GAMBAR: Dr. Fary Akmal Osman
LABUAN: Seramai 358 daripada 1,158 pelajar Universiti Malaysia Sabah Kampus Antarabangsa Labuan (UMSKAL) telah membuat permohonan untuk dihantar pulang ke Sabah.
Pengurusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD), Wilayah Persekutuan Labuan, Dr. Fary Akmal Osman berkata, pihaknya telah menyediakan sebanyak 14 buah bas untuk proses penghantaran secara berperingkat melalui jalan laut dan darat yang akan dipantau pergerakan mereka oleh pihak polis.
“Bagi melancarkan pergerakan balik pelajar ke destinasi masing-masing, JPBD akan bekerjasama dengan Institut Pengajian Tinggi (IPT) bagi merangka satu prosedur operasi standart (sop) baharu yang merangkumi semua aspek termasuk keselamatan dan kebajikan para pelajar”, katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media mingguan Pusat Kawalan Operasi Bencana di Wisma Perbadanan Labuan, pada Rabu.
Dr Fary turut menjelaskan setakat ini seramai 350 pelajar UMSKAL sudahpun menjalani saringan kesihatan yang dadakan pada Selasa lalu.
Sementara itu katanya, terdapat 41 pelajar dari Universiti Malaysia Sabah (UMS) juga telah membuat permohonan untuk balik ke Labuan.
“Bagaimanapun kesemua 41 pelajar berkenaan perlu terlebih dahulu menjalani kuarantin 14 hari. Sekiranya mereka ini sihat dan tiada gejala Covid 19, mereka dijangka akan bergerak pulang ke Labuan menaiki bas dari Kota Kinabalu pada 13 Mei 2020” katanya.
Mengenai pelajar Labuan yang menuntut di Kuala Lumpur, Dr Fary menjelaskan pihaknya masih menunggu jumlah sebenar pelajar berkenaan yang memohon untuk pulang ke Labuan.
“JPBD di fahamkan kesemua pelajar berkenaan akan diterbangkan dari Kuala Lumpur menggunakan penerbangan ihsan pesawat TUDM yang diuruskan oleh kerajaan pusat” katanya.
Manakala seramai 463 daripada 2,170 pelajar Kolej Matrikulasi Labuan (KML) juga telah membuat permohonan untuk balik kepangkuan keluarga mereka di Sabah.
JPBD telah menyediakan sebanyak 10 buah bas untuk menghantar pelajar tersebut pulang ke Sabah.
Dalam pada itu terdapat juga seramai 44 pelajar Institut Latihan Perindustrian Labuan (ILP) yang memohon untuk pulang ke Sabah dan urusan penghantaran juga sedang diuruskan oleh JPBD.
Sementara itu Ketua Polis Wilayah Persekutuan Labuan Superitendan Muhamad Farid Ahmad berkata, semua proses penghantaran pelajar yang terlibat akan di hantar terus ke Ibu Pejabat Polis (IPD) di setiap daerah sebelum di ambil oleh ahli keluarga masing-masing. TAMAT