Gambar: SUPT. Ahmad (empat dari kiri) bersama pegawai kanan IPD Labuan yang hadir bersama ketika meninjau pusat penamaan calon kerusi Parlimen Labuan di SK Sungai Lada, pada Khamis
LABUAN: Seramai 326 anggota Polis Di Raja Malaysia (PDRM) yang terdiri daripada pegawai dan anggota serta bantuan telahpun siapsiaga untuk menghadapi penugasan PRU ke 15 bagi P 166 Labuan.
Ketua Polis Daerah Wilayah Persekutuan Labuan, Superitendan Ahmad Jawila berkata, kesemua anggota berkenaan akan ditempatkan di pelbagai lokasi sepanjang tempoh PRU bermula dari hari penamaan calon (5 Nov) hinggalah pada hari pembuangan undi pada 19 November depan.
“Kesemua mereka yang terdiri daripada pegawai, anggota dan bantuan telahpun siapsiaga bagi memastikan kawalan keselamatan sepanjang PRU 15 berlangsung berjalan dengan lancar tanpa berlakunya sebarang insiden yang tidak diingini” katanya pada sidang akhbar selepas meninjau pusat penamaan calon di SK Sungai Lada, pada Khamis.
Dalam pada itu, beliau menetapkan kepada semua calon yang bertanding agar terlebih dahulu mendapatkan permit kempen pilihanraya daripada polis bagi mengelakkan pertembungan lokasi kempen.
Ahmad turut mengingatkan penyokong dan calon semua parti politik yang bertanding supaya sentiasa mematuhi arahan PDRM dari masa ke semasa bagi memastikan keamanan dan kententeraman di Wilayah Persekutuan Labuan terpelihara.