Simsudin bersama peserta Ekspedisi Kayak Labuan- Kota Kinabalu
LABUAN: Seramai 31 peserta menyertai Program Ekspedisi Kayak Labuan ke Kota Kinabalu sejauh 165 kilometer, anjuran Persatuan Kanu Labuan.
Program tersebut turut mendapat kerjasama Jabatan Belia dan Sukan (JBS) Labuan, Persatuan Kenu Malaysia, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Wilayah Persekutuan Labuan dan pasukan Polis Marin Labuan.
Ekspedisi yang melibatkan belia dan warga emas berumur 20 hingga 67 tahun itu akan berkayak selama empat hari bermula di Labuan pada Sabtu (13 September) dan akan berakhir di Kota Kinabalu pada 16 September ini.
Sementara itu, pelepasan para peserta di pantai kompleks Sukan Laut Antarabangsa Labuan telah disempurnakan oleh Timbalan Pengerusi Perbadanan Labuan, Simsudin Sidek.
Hadir sama, Pengarah Jabatan Belia dan Sukan (JBS) Labuan Mahanum Fauzi.
Menurut Pengerusi Persatuan Kanu Labuan, Mohd Yunos Mohd Waidin, ekspedisi siri pertama telah dianjurkan pada tahun 2019 membabitkan Teluk Brunei, sejauh 155 kilometer.
Siri kedua Ekspedisi Tip Of Borneo diadakan pada tahun 2023 sejauh 158 kilometer dari Kudat Ke Kota Kinabalu. Manakala, penganjuran ekspedisi kayak siri ketiga ini merupakan kesinambungan penganjuran lalu sekali gus melengkapkan keseluruhan laluan di sepanjang Pantai Barat Sabah.
“Peserta berkenaan berkayak menyelurusi perairan Pantai Barat Sabah dan akan berhenti bermalam di empat lokasi iaitu di Kampung Mansud Kuala Penyu, Kampung Binsilok Membakut, Kampung Kuala Papar dan lokasi tamat di Teluk Likas Kota Kinabalu”, katanya.



