GUNTING RAMBUT…. Sebahagian kanak-kanak sekolah yang mengambil peluang menggunting rambut secara percuma anjuran Armada Bersatu Bahagian Labuan, pagi kelmarin
LABUAN: Kira-kira 300 kanak-kanak yang bersekolah rendah dan juga menengah menyertai Program ‘Back To School Gunting Rambut Percuma’ anjuran Armada parti Bersatu Bahagian Wilayah Persekutuan Labuan yang diadakan, pagi kelmarin.
Ketuanya Fadilah Eddy Abd Khalid berkata, program tersebut salah satu aktiviti Armada bagi membantu mengurangkan beban kewangan ibu bapa selepas Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Program yang mendapat sambutan daripada ibu bapa itu turut dipantau oleh Jabatan Kesihatan Labuan yang diketuai oleh pengarahnya Dr Ismuni Bohari dan pegawai kesihatan Dr Suppiah Anarsalam.
Kesemua pekerja Gunting Rambut yang dipilih oleh Armada itu telah mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) dimana semua tukang gunting rambut terlibat menggunakan peralatan pakaian dan perlindungan diri serba lengkap.
Fadilah berkata program ini akan berterusan setiap tahun sebagai sebahagian daripada tanggungjawab sosial korporat (CSR) Armada kepada masyarakat.
Untuk rekod, kerajaan telah memutuskan bermula 15 Julai ini semua sekolah di seluruh negara dibuka semula bermula dengan pelajar sekolah rendah Tahun Lima dan Enam, Tingkatan satu hingga Empat dan juga Kelas Peralihan diikuti seminggu selepas itu (24 Julai) bagi murid Tahun Satu hingga Tahun 4.