Gambar: Dr Mohd Zaki ketika meninjau para pelajar perempuan yang menerima suntikan Vaksin HPV di Dewan Serbaguna JKNWPL, pada Sabtu
LABUAN:Seramai 2,900 pelajar perempuan berumur 13 tahun dari 11 buah sekolah menengah disini menerima suntikan vaksin HPV yang akan dijalankan secara berperingkat- peringkat.
Pada peringkat pertama seramai, 1,000 pelajar perempuan Tingkatan Satu Kohort Tahun 2021-2024 telahpun menerima suntikan Vaksin HPV.
Kesemua pelajar itu menerima suntikan Vaksin HPV pada Majlis Pra-Pelancaran Program Imunisasi HPV Kebangsaan Peringkat Wilayah Persekutuan Labuan yang di adakan Dewan Serbaguna Jabatan Kesihatan Negeri Wilayah Persekutuan Labuan (JKNWPL), pada Sabtu.
Manakala selebihnya akan menerima suntikan Vaksin HPV secara berpusat di Jabatan Kesihatan Negeri Wilayah Persekutuan pada 20 Julai depan.
Sementara itu, Majlis Pra-Pelancaran program tersebut disempurnakan oleh Timbalan Pengarah JKNWP, Dr Mohd Zaki Ab. Hamid.
Terdahulu ketika berucap pada majlis itu beliau berkata, pengambilan vaksin HPV adalah bertujuan untuk mencegah kanser serviks atau kanser pangkal rahim yang disebabkan oleh jangkitan kuman Human Papillomavirus Virus (HPV).
“Kanser serviks adalah diantara tiga kanser tertinggi penyebab kematian dalam kalangan Wanita di Malaysia” katanya.
Beliau berkata, Program Imunisasi HPV Kebangsaan dengan tagline “Imunisasi HPV, Cegah Kanser Serviks” merupakan inisiatif Kementerian Kesihatan Malaysia bagi pelajar pelajar perempuan sekolah menengah yang diperkenalkan sejak tahun 2010.
“Sehingga kini seramai 2.5 juta pelajar perempuan berumur 13 tahun di seluruh Negara sudahpun diberikan suntikan vaksin HPV” , katanya.